Kelab Pidato Perdana - kelab belajar membuat ucapan
Kelab Pidato Perdana Kuala Lumpur
Sejarah Kelab Pidato Perdana
Matlamat Kelab Pidato Perdana
Kegiatan Kelab Pidato Perdana
Jadi Ahli Kelab Pidato Perdana
Tubuh Kelab Baru di bawah Kelab Pidato Perdana
Tokoh-tokoh dalam Kelab Pidato Perdana
Senarai Anugerah Kelab Pidato Perdana
Berita Hangat Kelab Pidato Perdana
Galeri Gambar Kelab Pidato Perdana
Pandangan Ahli-ahli Kelab Pidato Perdana
Rencana oleh Ahli-ahli Kelab Pidato Perdana
Pautan Berkenaan Pidato
Hubungi Kami di Kelab Pidato Perdana

Kelab Pidato Perdana Kuala Lumpur (kelab induk)

Hari Perjumpaan :

Hari Jumaat pertama, ketiga & keempat setiap bulan
(kecuali cuti umum)

Waktu Perjumpaan : 7.45 malam (kudapan pada 7.15 malam)
Tempat Perjumpaan : Tingkat 50, Menara Telekom, Jalan Pantai Baharu,
Kuala Lumpur (LRT Kerinchi)

Jika berminat,
sila hubungi

: Sandy Tan @ 012-3508844 / sandy@pidatoperdana.com
Azmi Shahrin @ 012-9198557 / azmi@pidatoperdana.com

Perjumpaan Akan Datang (Ke-134): 5hb. Februari 2010

Semua dijemput hadir!!!

 

  Kelab Baru (hari Rabu) akan ditubuhkan di KL.
Kelab Baru di IPOH.
Maklumat lanjut di sini.
Laporan Perjumpaan-perjumpaan Lepas    

Perjumpaan 22hb. Januari 2010:
KPPKL menganjurkan Pertandingan Ucapan Berjenaka. 8 peserta mengambil bahagian. Disebabkan hujan turun mencurah-curah, 2 lagi peserta tidak berjaya menghadiri perjumpaan. Akhirnya, yang muncul Johan ialah Mohd Asri, diikuti Sandy Tan dan Faiza Muhd Halil di tempat kedua dan ketiga. Barisan Hakim pula terdiri daripada Rohijas (Ketua Hakim), Khoshim, Hj. Naburi dan Yeak. Malam yang penuh dengan gelak ketawa. Kehadiran - 12 ahli, 6 penyokong, 2 bakal ahli, 1 tetamu.

Perjumpaan 8hb. Januari 2010:
Kemahiran yang diberi tumpuan kali ini ialah penyusunan ucapan. Sebagai latihan, ahli-ahli menyampaikan ucapan tanpa persediaan berdasarkan isu-isu semasa yang hangat! Pengacara Majlis Rohijas Mohd Sharif telah menambah lagi kemeriahan suasana dengan menyisipkan jenaka-jenaka yang pintar dan tepat dengan keadaan. Pada malam ini juga, Pengelola KPP Sandy Tan telah melancarkan buku panduan berpidato yang baru untuk Kelab Pidato Perdana.

Perjumpaan 4hb. Disember 2009:
Ahli-ahli menyampaikan ucapan bertajuk "Jika saya diberi peluang, saya ingin..." sambil berlatih menggunakan gerakan tangan yang menarik. Banyak keinginan (dan angan-angan) telah diluahkan pada malam ini. Antara yang paling bersemangat ialah ucapan Mohd Asri menyatakan keinginannya untuk mengunjungi Tembok Besar Cina, Taj Mahal dan Dubai. Walaupun kehadiran ahli agak kurang pada malam ini, KPPKL telah mengalu-alukan 3 ahli baru!

Perjumpaan 20hb. November 2009:
KPPKL mengadakan sesi drama buat kali pertama! Sesi ini dikendalikan oleh Pn. Anizah Ahmad selaku pengajar jemputan. 10 ahli dan 2 tetamu telah mengambil bahagian dalam drama berjudul "Bubur Lambuk Batu" iaitu versi Melayu "The Stone Soup". Disebabkan para peserta kurang berpengalaman dan masa yang singkat, drama ini belum dapat disempurnakan. Namun, setiap peserta (dan penonton) telah dapat "merasa" sedikit pengalaman berdrama.

Perjumpaan 6hb. November 2009:
Pada malam ini, KPPKL telah didatangi oleh 13 tetamu! 7 daripada mereka "muncul" tanpa memaklumkan kehadiran terlebih dahulu. Nasib baik makanan mencukupi. 4 ahli menyampaikan pidato "mengilhamkan khalayak" (memberi ilham dan dorongan kepada pendengar) dan dinilai oleh 2 penilai. Pidato Rashedi diundi sebagai pidato terbaik. Namun, didapati bahawa kebanyakan pidato (menurut para penilai) kurang mencapai matlamat walaupun berapi-api. Perlu terus belajar!

Perjumpaan 30hb. Oktober 2009:
Setelah menyedari dalam perjumpaan 16hb. bahawa ramai ahli tidak pandai menggunakan paparan PowerPoint, sesi latihan untuk tujuan ini telah diadakan. 8 ahli membuat penyampaian dan dinilai oleh seorang hadirin serta Jurulatih Ucapan Azmi Shahrin. Tumpuan diberikan kepada pengolahan paparan dan gaya penyampaian. Walaupun hari hujan, ramai juga yang hadir termasuk tetamu. Begitu banyak telah dipelajari dalam satu malam ini! Semua yang hadir berasa puas hati.

Perjumpaan 16hb. Oktober 2009:
Dalam perjumpaan ini, tumpuan diberikan kepada penyampaian ucapan berbentuk taklimat. 4 ahli menyampaikan taklimat dan diberi penilaian oleh 2 penilai. Ulasan yang paling kritis telah disampaikan oleh Rohijas selaku "Perumus". Beliau bertanya: Adakah penggunaan PowerPoint oleh setiap penyampai itu perlu dan adakah setiap taklimat itu perlu (tiada cara lain untuk menyampaikan maklumat berkenaan dengan berkesan)? Didapati, banyak yang sebenarnya tak perlu! Huhu.

Perjumpaan 2hb. Oktober 2009:
Ahli-ahli berlatih menyampaikan ucapan tanpa persediaan. Majlis diacarakan oleh Hj. Naburi Idin, penyokong Kelab Pidato Perdana. Beliau telah menyediakan 26 tajuk untuk dikemukakan kepada para hadirin! Sambil dan selepas ahli-ahli berucap, Jurulatih Ucapan Azmi Shahrin telah menyampaikan panduan yang bernas lagi tepat, sesuai dengan keperluan setiap pemidato. Pada malam ini, KPPKL telah menerima 2 lagi ahli baru sekaligus membawa keahlian KPPKL kepada 30 orang. Syabas semua!

Perjumpaan 4hb. September 2009:
Pertandingan Pidato bertemakan "Berkat Ramadhan". Selain 3 peserta beragama Islam, 3 lagi peserta tidak beragama Islam telah menyentuh tentang berkat/faedah puasa dari sudut pandangan Kristian, Hindu dan tidak beragama. Rugi tiada wakil agama Buddha. Setiap peserta juga perlu menjawab satu soalan daripada Ketua Hakim selepas menyampaikan ucapan. Pertandingan akhirnya dimenangi oleh Sandy Tan, diikuti oleh Mohd Hafizuddin dan Rohijas Mohd Sharif.

Perjumpaan 14hb. Ogos 2009:
4 ahli menyampaikan ucapan jualan. Apa yang dijual? Ubat untuk mencerdaskan otak, sistem pemampat sampah (?!), pelan Takaful dan Amanah Saham Public Mutual. Setiap penyampai diberi penilaian oleh 2 penilai. Banyak telah dipelajari tentang ciri-ciri sebuah ucapan jualan yang berkesan, terutama perihal pentingnya mengungkapkan "masalah" dengan jelas sebelum memperkenalkan barangan. Suasana malam ini agak serius.

Perjumpaan 7hb. Ogos 2009:
Dinding bilik perjumpaan hampir pecah pada malam ini akibat dilanggar gelombang suara para pemidato. Hadirin menyampaikan pidato bertajuk "Saya marah / tidak puas hati kerana..." sambil didera oleh Jurulatih Ucapan Azmi Shahrin untuk menguatkan suara, menderaskan suara dan macam-macam lagi demi mempelbagaikan suara. Suara para pemidato semakin menunjukkan keupayaan hasil daripada latihan ini. Begitulah hendaknya.

Perjumpaan 24hb. Julai 2009:
Acara perbahasan. 2 tajuk yang mencabar telah dibahaskan: "Melayu Pemalas" dan "Orang bukan Melayu harus diberi peluang menjadi Perdana Menteri Malaysia". Hujah-hujah yang bernas telah disampaikan dalam suasana gelak ketawa. Mungkin di KPP sahaja boleh diadakan acara sedemikian di mana semua peserta mengamalkan fikiran terbuka dan mampu membahaskan tajuk-tajuk ini tanpa pertumpahan darah!! He he he.

Perjumpaan 17hb. Julai 2009:
Majlis Pentarafan yang julung kali diadakan! 7 calon telah menyampaikan pidato. Rashedi Ramli dinobatkan sebagai Pemidato Mahir Pangkat 1 dengan 81 markah. Hj. Mohd Anuar Hj. Ibrahim, Mohd Asri Mohd Zain, Sandy Tan, Sezali Othman dan Rohijas Mohd Sharif pula dinobatkan sebagai Pemidato Mahir Pangkat 2. Seorang calon tidak berjaya. Terdapat 5 tahap dalam Sistem Pentarafan KPP. Majlis kali ini memberi tumpuan kepada 2 tahap permulaan sahaja.

Perjumpaan 3hb. Julai 2009:
Ahli-ahli berlatih memberi tatapan mata kepada hadirin ketika berucap. Perkara ini memang menjadi satu kelemahan ramai pemidato - mereka mungkin memandang hadirin secara "sambil lalu" sahaja atau langsung tidak memandang hadirin. Namun pada malam ini, di bawah pimpinan Jurulatih Ucapan Azmi Shahrin, 9 pemidato berjaya memberi tatapan mata ke mata kepada para hadirin. Sesi latihan sebegini ternyata berkesan.

Perjumpaan 26hb. Jun 2009:
Pertandingan pidato bertemakan "Memartabatkan Bahasa Malaysia". 10 peserta. Johan pertandingan adalah Azmi Shahrin, diikuti oleh Mohd Hafizuddin dan Hj. Anuar. Barisan hakim terdiri daripada penyokong-penyokong KPPKL termasuk Hj. Naburi Idin, Ismail Omar, Nik Mohd Zaki dan Al-Munirah Hj. Anuar, serta seorang ahli KPP iaitu Rashedi Ramli. Logo baru KPP juga dilancarkan pada malam nan indah ini! Hebat!

Perjumpaan 19hb. Jun 2009:
Acara penyampaian cerita rakyat. Cerita-cerita yang telah diperdengarkan termasuk Burung Bangau Dengan Seekor Ketam, Pena Ajaib, Dua Pemuda Dengan Perantau, Pungguk Rindukan Bulan, Kisah Ikan Ma Nung & Ikan Kapas, Nasib Si Kura-kura dan Kisah Rusa Dengan Tanduknya. Hj. Anuar telah dinobatkan sebagai pencerita terbaik dengan Kisah Ikan Ma Nung & Ikan Kapas! Hadirin lain mengambil peranan sebagai penilai ucapan.

Perjumpaan 5hb. Jun 2009:
Disebabkan cuti sekolah, ramai ahli tak dapat hadir. Nasib baik ramai tetamu pula yang hadir. Kami mengadakan acara ucapan tanpa persediaan dan memberi tumpuan kepada menghindari penongkat ucapan (sebutan seperti "ah", "um" dsb.). Jurulatih Ucapan membunyikan wisel setiap kali pemidato menggunakan penongkat ucapan. Amat berkesan. Malah seorang ahli telah memulakan ucapan dengan banyak penongkat ucapan tetapi berjaya menghapuskan kesemuanya apabila tamat ucapan.

Perjumpaan 22hb. Mei 2009:
KPPKL telah menganjurkan pertandingan mendeklamasi sajak buat kali pertama. 15 ahli dan 4 tetamu telah mendeklamasikan sajak - suatu rekod! Johan pertandingan adalah Rashedi Ramli, diikuti oleh Mohd Asri, Azmi Shahrin, Hj. Anuar dan Mohd Hafizuddin. Pengelola Sandy Tan dalam keghairahan mendapatkan peserta telah terlupa membeli hadiah untuk para pemenang - malunya!

Perjumpaan 15hb. Mei 2009:
Pertandingan pidato dengan tajuk "Pengalaman saya yang paling...". 9 peserta, macam-macam cerita kami dengar pada malam ini... daripada yang menyeramkan kepada yang mengharukan. Isi kandungan terbaik dimenangi oleh M. Manoharadas sementara persembahan terbaik dimenangi oleh Rashedi Ramli.

Perjumpaan 24hb. April 2009:
Acara perbahasan. Ahli-ahli membahaskan 2 tajuk: "Pengajaran Sains dan Matematik perlu diteruskan dalam bahasa Inggeris" dan "Lebih baik mengekalkan kerajaan sedia ada daripada menerima kerajaan pembangkang". Berapi-api. Yang paling kelakar... ada ahli yang "ter"pilih untuk mewakili pandangan yang sebenarnya hendak ditentang.

Perjumpaan 17hb April 2009:
Pertandingan ucapan separa spontan & penilaian. Tajuk-tajuk ucapan diedarkan dan para peserta diberi masa beberapa minit untuk membuat persediaan. Seterusnya, nota-nota dikutip dan acara bermula. Selepas setiap peserta berucap, beliau diberi penilaian oleh peserta yang berucap sebelum beliau. Mohd Asri telah menjalankan tugas sebagai Pengacara Pertandingan dengan begitu cekap sehingga di akhir perjumpaan ramai tetamu ingin mendaftarkan diri sebagai ahli.

Perjumpaan 3hb. April 2009:
Buat kali pertama Kelab Pidato Perdana Kuala Lumpur mengadakan perjumpaan di Menara Telekom (Menara Rebung), Tingkat 50! Wah, indahnya pemandangan di bawah sana...