Laman utama Kelab Pidato Perdana
Matlamat & sejarah Kelab Pidato Perdana
Libatkan diri dalam Kelab Pidato Perdana
Senarai 20 cawangan Kelab Pidato Perdana
Kegiatan yang dianjurkan oleh Kelab Pidato Perdana
Tokoh-tokoh Kelab Pidato Perdana
Anugerah yang diberikan oleh Kelab Pidato Perdana
Berita terkini Kelab Pidato Perdana
Gambar & video kegiatan Kelab Pidato Perdana
Bukti keberkesanan program Kelab Pidato Perdana
Hubungi Kelab Pidato Perdana

Berita Hangat 2


Berita Sebelum Januari 2014

Pertandingan Pidato Sempena Karnival Kompleks Kejiranan Putrajaya 2013
24hb. November 2013

Kelab Pidato Perdana telah dijemput untuk bekerjasama menjayakan pertandingan ini yang akan diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 9. Kami perlu menyediakan peraturan pemarkahan, 2 hakim, seorang pengacara majlis serta 10 peserta (jika boleh) daripada kalangan ahli-ahli KPP.

Para peserta dikehendaki menyampaikan tajuk "Faedah Hidup Bermasyarakat". Masa yang diberikan ialah 7 minit. Sambutan daripada ahli-ahli KPP amat menggalakkan dengan 9 ahli mendaftarkan diri (5 orang daripada cawangan Putrajaya). Pn Rosmah pula menawarkan diri untuk peranan pengacara majlis. Azman dan Shahril bersetuju untuk bertindak sebagai hakim. Namun, disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, Azman sampai lewat dan Sandy Tan terpaksa mengambil alih tempat beliau sebagai hakim.

Gambar-gambar yang diambil sebelum pertandingan bermula:

Hj Mutti dan Nazarludin tiba sebelum 9 pagi Hj Shahrozaini dan Ruddy bersalaman
Pn Rosmah mengadakan perbincangan dengan En Razali (penganjur) Para peserta membuat cabutan nombor giliran

Para peserta KPP (2 orang tiada dalam gambar)

Ketika pertandingan berlangsung:

Rosmah bergaya di atas pentas Sandy dan Shahril perlu menjamin keputusan yang adil

Yang berikut ialah 10 peserta yang mengambil bahagian - 9 daripada KPP dan seorang lagi merupakan pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya (dikatakan pemidato terbaik sekolah berkenaan):

10 peserta menyampaikan tajuk yang sama tetapi dengan pengisian masing-masing

Akhirnya, keputusan pertandingan pun diumumkan:

Fauzi - tempat ke-5 Shahrozaini - tempat ke-4 Mohd Zaki (pelajar) - tempat ke-3
Fahmi - Naib Johan Ruddy - Johan

Selepas keputusan diumumkan, Ruddy telah membelanja ahli-ahli KPP makan di medan selera di Kompleks Kejiranan P9. Beliau mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM 300.

Diharap ahli-ahli Kelab Pidato Perdana akan mendapat lebih banyak peluang pendedahan sebegini pada masa-masa akan datang. Tahniah kepada yang menang, syabas kepada yang mencuba!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Kelab Pidato Perdana Membuka Cawangan di Johor Bahru dan Pulau Pinang
28 & 31hb. Oktober 2013

Dua tarikh ini - 28 & 31hb. Oktober 2013 - akan kekal dalam ingatan ahli-ahli Kelab Pidato Perdana kerana pada tarikh-tarikh ini KPP telah memacakkan bendera buat kali pertama di luar kawasan pusat. Langkah ini dianggap agak berani kerana risiko yang ditanggung sekiranya rancangan tidak menjadi, apalagi dengan sasaran 2 cawangan dibuka serentak.

Setelah menetapkan hari perjumpaan (Isnin untuk Johor Bahru, Khamis untuk P. Pinang), kami perlu menetapkan tempat perjumpaan. Untuk JB, JohorBizCentre di Damansara Aliff telah dipilih sebagai tempat yang baik setelah mendapat maklum balas awal daripada beberapa warga JB. Untuk P. Pinang pula, Universiti Sains Malaysia telah dipilih kerana ia berada betul-betul di hadapan Jambatan Pulau Pinang sekali gus memudahkan mereka yang datang dari seberang.

Namun, beberapa rintangan telah dihadapi. Yang pertama, senarai "orang yang berminat" yang telah diperoleh lebih awal tidak menzahirkan sambutan yang diharapkan. Ada orang mencadangkan tarikh pelancaran ditunda. Namun, seperti biasa, Pengelola KPP Sandy Tan yang agak degil tidak mahu mempertimbangkan apa-apa perubahan tarikh dan telah bertindak pantas dengan mencetak dan mengedarkan risalah di kedua-dua lokasi dalam masa singkat. Untuk Johor Bahru, Sandy Tan dan Mohd Azman telah turun padang untuk meletakkan risalah di 50 masjid/surau di sekitar JB, selain stesyen-stesyen Petronas. Untuk P. Pinang pula, risalah telah dihantar kepada rakan kepada seorang ahli KPP di sana untuk menguruskan proses pengedaran ke masjid dan surau. Hasil daripada usaha ini, kami telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Rintangan yang kedua pula, setelah risalah untuk P. Pinang siap dicetak, kami mendapat berita bahawa bilik kuliah yang kami ingin guna di USM, tidak boleh digunakan. Maka kami terpaksa mencari di merata-rata sehinggalah terjumpa satu bilik seminar yang khas untuk disewa dan juga terletak di dalam kawasan USM.

Tibalah 28hb. Oktober.. di Johor Bahru:

Kawasan menyambut tetamu Kerusi yang sudah siap disusun

Tidak lama kemudian:

Orang mula tiba Bilik sudah penuh

Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh Mohd Azman dan diikuti dengan penerangan/taklimat oleh Sandy Tan. Fahmi yang kebetulan bercuti semester telah ikut rombongan dan bertindak sebagai Pengacara Majlis dalam sesi ini.

Azman begitu ghairah dengan cawangan baru di JB Sandy selamba sahaja melihat rancangannya menjadi

Selepas 2 ucapan tadi, sesi pendaftaran pun diadakan. Seramai 20 ahli baru telah mendaftarkan diri! Yang berikut ialah 5 ahli wanita yang menyertai (peratusan yang agak tinggi):

Setelah mendaftar, setiap ahli baru diberi peluang berucap 3 minit di samping mendapat sedikit tunjuk ajar daripada Azman yang memainkan peranan sebagai Jurulatih.


Richard Lim menekankan pentingnya semua rakyat Malaysia
dapat bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan lancar, tidak mengira bangsa

Banyak juga duit yuran yang dikumpul:

Setelah bermalam di rumah penginapan di bawah pengurusan sama (dengan bilik latihan), kami pun pulang ke KL. Malangnya, pada hari berikut (Rabu), Sandy telahpun demam. Dengan tindakan pantas menelan panadol dan Vitamin C, Sandy telah sembuh dalam masa 18 jam. Pada hari keesokan, perlu ke Pulau Pinang.

Tibalah 21hb. Oktober.. di Pulau Pinang:

Mus, Fahmi dan Sandy bertemu Dr Musa, Pengarah Pusat Inovasi & Produktiviti Pentadbiran Awam, tempat kami menyewa bilik seminar

Perjumpaan kelab di waktu malam pula bermula dengan penerangan/taklimat oleh Sandy dan diikuti dengan ucapan aluan oleh Mus Minahar.

Sandy mengimbau sejarah KPP Mus memberi semangat kepada ahli-ahli baru

Bilik perjumpaan di P. Pinang agak besar dan selesa:

Kaum Hawa Kaum Adam

Selepas Sandy Tan dan Mus berucap, sesi pendaftaran diadakan. Walaupun sambutan di P. Pinang tidak sehebat di Johor Bahru, namun ia dikira amat memuaskan dengan kemasukan 18 ahli baru pada sesi pertama.

Seterusnya, Fahmi menerangkan secara ringkas 8 kemahiran pengucapan awam yang asas dan memberi tunjuk ajar kepada setiap ahli baru yang diberi peluang berucap selama 3 minit.

Fahmi bertindak sebagai Jurulatih

Penuh keliling meja:

Setelah semua selesai, Sandy telah membelanja Fahmi dan Mus untuk bercuti sehari semalam di Bukit Merah Laketown Resort.

Fahmi dan Mus bersantai setelah bekerja keras

Dengan penubuhan 2 cawangan baru ini, jumlah cawangan Kelab Pidato Perdana telah meningkat kepada 7! Azman dan Mus juga telah dilantik sebagai Jurulatih Perintis Cawangan Luar. Dengan ini, jawatan Ketua Jurulatih Zon Pusat akan disandang oleh Ruddy M. Hams (sebelum ini Mus).

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Majlis Berbuka Puasa & Pertandingan Pidato Bulan Ramadan 2013
19 & 23hb. Julai 2013

Sekali lagi, setibanya di bulan Ramadan, Kelab Pidato Perdana telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa & Pertandingan Pidato di 2 tempat, iaitu di cawangan KPP Kuala Lumpur pada Jumaat, 19hb. Julai 2013 dan di cawangan KPP Putrajaya pada Selasa berikut, 23hb. Julai 2013. Ahli-ahli dijemput hadir ke mana-mana daripada 2 sesi ini.

Majlis yang pertama diadakan semula di VIP Lounge, Telekom Malaysia Convention Centre (seperti pada tahun lepas). Namun begitu, jumlah meja telah meningkat daripada 3 ke 4 buah. Majlis ini dihadiri oleh 27 ahli dan 7 tetamu. Majlis di Putrajaya pula dihadiri oleh 17 ahli dan 2 tetamu.

VIP Lounge di TM

Seperti pada tahun-tahun lepas, tema keagamaan telah ditetapkan sebagai tema pertandingan. Tema untuk KL ialah "Perjuangan di Jalan Tuhan". 9 ahli mengambil bahagian. Setelah ahli-ahli menjamu selera dan selesai solat Maghrib, acara pertandingan pun dimulakan.

Mus Minahar, pemenang 2011, sebagai Pengacara Ruddy M. Hams (berbaju putih, pemenang 2012, sebagai Ketua Hakim, bersama hakim-hakim lain

Yang berikut ialah gambar-gambar 9 peserta yang mengambil bahagian (mengikut urutan berucap):

Nizam - Mencari Keredhaan Allah Idris - Satu Ikrar, Sejuta Impian Nazri - Memurnikan Tauhid
Rohijas - Sedikit Punya Konsisten Hj Mukhlas - Pelangi Perjuangan Karen - Kasih Tuhan
Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Hana - Cabaran Muslim Amerika dalam Berjihad Sabri - Perjalanan Mencari Agama Allah Sandy - Berjuang untuk Tuhan, Kononnya

Barisan hakim mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan keputusan. Akhirnya, Hj Jait Mukhlasin Syuhadak dinobatkan sebagai Johan pertandingan, manakala Rohijas Md Sharif mendapat tempat kedua dan Sandy Tan mendapat tempat ketiga. Idris dan Nazri diberi hadiah sagu hati.

Para peserta menerima hadiah daripada ahli barisan hakim

Beberapa hari kemudian di Putrajaya, satu lagi majlis diadakan. Tema pertandingan yang dipilih ialah "Kejayaan Dunia & Akhirat". Penyertaan di Putrajaya telah melebihi di KL dengan seramai 11 ahli mengambil bahagian.

Katerer Putrajaya Nik Jasmin menyediakan hidangan yang enak

Oleh kerana hampir semua ahli ingin mengambil bahagian, maka tiada yang dapat bertugas sebagai hakim. Keputusan pertandingan terpaksa ditentukan menerusi pengundian. Akhirnya, Arrias Roslan Zaidon dinobatkan sebagai Johan pertandingan (Nilai dalam Mencari Kejayaan Dunia & Akhirat), manakali Mogana Rau mendapat tempat kedua (Iktibar daripada Kesakitan) dan Mohd Azman mendapat tempat ketiga (Memahami Syahadah untuk Kejayaan Dunia & Akhirat). Halimah dan Fauzi diberi hadiah sagu hati.

Baris atas (kiri ke kanan):
Azman, Rau, Arrias
Baris bawah:
Halimah, Fauzi
Semua menerima hadiah daripada Ketua Jurulatih Azmi Shahrin

Maka selesailah 2 majlis penting sempena bulan Ramadan. Namun begitu, didapati ahli-ahli daripada cawangan terbaru Shah Alam menghadapi kesukaran mengikuti program di TM. Pada tahun depan, majlis ini akan diadakan secara berasingan di Shah Alam selain di KL dan Putrajaya.

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelab Pidato Perdana Ke-4
17hb. Mei 2013

Menjelang bulan Mei setiap tahun, ahli-ahli Kelab Pidato Perdana akan bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun. Pada tahun ini, kami amat bertuah kerana mendapat tajaan yang tidak dijangka daripada seorang ahli yang baru sahaja menyertai kelab ini; beliau adalah tidak lain tidak bukan Dato' Sharifuddin Musa yang juga merupakan Pengarah Urusan kepada syarikat Federal Malay Holdings Sdn. Bhd. Beliau telah membenarkan kami untuk menggunakan Food Court Village di Universiti Malaya (milik syarikat ini). Tempat ini terletak di bawah sebuah khemah besar dan sudah disediakan dengan pelbagai kelengkapan. Selain tempat, Dato' Sharifuddin juga menaja semua hidangan pada malam bertuah ini.

Pentas "Backdrop"

Cuaca pada malam ini sangat baik dan hampir semua ahli yang berjanji untuk hadir telah berjaya menghadirkan diri. Seramai 51 ahli hadir, tidak termasuk ahli-ahli keluarga yang hadir bersama.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana

Atas: Idris Mohamad selaku Pengacara Majlis

Kiri: Pengelola KPP Sandy Tan menyampaikan ucapan alu-aluan

Majlis dirasmikan oleh Y. Bhg. Dato' Hj Mohd Alias bin Abdul, seorang AJK Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur. Beliau telah berucap agak panjang lebar mengenai kehebatan perjuangan Kelab Pidato Perdana.

Dato' Alias menyampaikan ucapan

Beberapa lagi gambar yang menarik:

Ahli-ahli KPP yang berkumpul - meja di hadapan ialah meja para hakim (pertandingan) Dato' Sharifuddin (kiri) dan Dato' Alias (kanan)

Acara kemuncak majlis ialah Pertandingan Pidato Antara Cawangan. Tema adalah bebas. Pada awal bulan Mei, pusingan saringan telah diadakan di setiap cawangan Kelab Pidato Perdana (ada 5 cawangan) dan 2 pemenang telah dipilih untuk mewakili setiap cawangan. Akan tetapi, cawangan Putrajaya telah menghantar 3 wakil (ada sebabnya, tetapi tak penting).

Yang berikut ialah gambar-gambar 11 peserta yang mengambil bahagian (mengikut urutan berucap):

Ruddy - Budi Norhafis - Mahalnya Terima Kasih? Hana - Ikan di Laut, Asam di Darat, di Bumi Malaysia Bertemu Jua
Nazri - Palestin dan Umat Islam Hailenpajar - Di Sebalik Peribahasa Melayu Fauzi - Cabaran Pasca PRU 13
Fahmi - Hero Tak Didendang Asrul - Ancaman Keselamatan & Keamanan Negara Hj Khoshim - Pilihlah Tapi Jangan Menyesal
 
Hj Mukhlas - Kebaikan Membawa Derita Zulkifli - PRU 13 Sudah Selesai  

Barisan hakim pula diketuai oleh En Mus Minahar, Ketua Jurulatih Zon Pusat dan dianggotai oleh 3 Jurulatih yang lain iaitu Mohd Azman Azmi, Mohd Nizam Harun dan Rohijas Md Sharif.

Setelah para peserta selesai berucap, sesi kuiz pula diadakan. Pelbagai soalan menarik mengenai Kelab Pidato Perdana telahpun disediakan.

Ahli-ahli merebut-rebut untuk menjawab soalan Hj Mutti tergelak besar setelah diberitahu jawapannya
"kurang tepat"

Sebelum para pemenang pertandingan diumumkan, sesi penyampaian cenderahati telah berlangsung di mana semua yang terlibat secara langsung diberi penghargaan termasuk para hakim dan juga En Hashim selaku pengurus logistik majlis ini.

Seterusnya, tibalah saat-saat yang mendebarkan. Ruddy M. Hams (cawangan Pusat Bandaraya) telahpun dinobatkan sebagai Johan pertandingan, manakala tempat kedua jatuh kepada Ahmad Fauzi Abdul Aziz (Putrajaya) dan tempat ketiga kepada Norhafis Nordin (Petaling Jaya). Asrul dan Hj Khoshim mendapat hadiah sagu hati.

3 pemenang utama menerima hadiah tunai daripada
Dato' Sharifuddin
(RM 400, RM 200, RM 100)

Akhir sekali, ucapan penutupan majlis disampaikan oleh Mohd Azman Azmi selaku Timbalan Pengerusi Persatuan Penggiat Pidato.

En Azman berucap sepatah dua

Majlis ini telahpun dirakam dan kami telah menghasilkan sebuah DVD untuk kenangan bersama. DVD ini dijual pada harga RM 15 kepada bukan ahli sebagai salah satu cara mengumpul dana.

Terima kasih diucapkan kepada semua ahli dan tetamu yang telah menyumbang kepada kejayaan majlis kali ini.

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Penubuhan Kelab Pidato Perdana Shah Alam
7hb. Januari 2013

Sudah tiba masanya untuk menubuhkan cawangan ke-5 Kelab Pidato Perdana, menurut hemat Sandy Tan, Pengelola KPP. Maka tindakan telah diambil untuk mencari tempat mengadakan pertemuan dan seterusnya menjalankan promosi. Tempat yang dipilih ialah sebuah rumah kedai yang mengandungi "bilik latihan" di Presint Alam-i, Seksyen 13 Shah Alam yang terletak bersebelahan dengan Worldwide Business Centre. Pada kali ini, dek perancangan awal, tempoh promosi dapat dipanjangkan kepada 2 bulan. 65,000 helai risalah telah diedarkan ke hampir 60 masjid/surau dan stesyen-stesyen Petronas di Shah Alam dan Subang Jaya. Di sebanyak 7 masjid, risalah ini juga diedarkan selepas solat Jumaat (sekali di setiap masjid). Tambahan pula, 10 sepanduk berlesen telah digantungkan di sekitar Shah Alam.

Sambutan adalah di luar jangkaan!!

Dalam rancangan asal, 7hb. Januari adalah tarikh perjumpaan pertama manakala 21hb. adalah tarikh pelancaran rasmi. Oleh kerana sambutan terlalu menggalakkan, kami terus merasmikan sahaja cawangan baru ini pada perjumpaan pertama.

Bilik mesyuarat semakin penuh menjelang 8.30 malam Memulakan sesi dengan nyanyian lagu kebangsaan

Pada malam 7hb. Januari, 22 tetamu dan 6 ahli sedia ada telah menghadirkan diri ke perjumpaan pertama ini.

Seterusnya, setiap tetamu telah memperkenalkan diri secara ringkas:

Acara kemuncak ialah penerangan tentang Kelab Pidato Perdana dan kegiatan-kegiatan yang bakal dijalankan. Idris Mohamad menerajui sesi ini.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Idris memikul tanggungjawab besar Sandy hanya mampu tersenyum; rancangan beliau telah berjaya

Seterusnya, semua orang kuat dijemput berucap sepatah dua.

Sandy Tan memulakan sesi "Berapa orang dapat risalah?"
"Wah, ramainya!"
Mus Minahar baru sahaja dinaik pangkat sebagai Ketua Jurulatih Zon Pusat Nazmi Osman juga naik pangkat dengan pelantikan sebagai Jurulatih KPP Shah Alam
Muhd Fahmi pun naik pangkat dengan pelantikan sebagai Pengelola Zon Pusat Mohd Azman Azmi (Pegawai Perhubungan Korporat) semakin sayangkan KPP

Akhir sekali, borang keahlian diedarkan dan 18 tetamu telah mendaftarkan diri!


Selesai sudah suatu tugasan besar: ahli-ahli sudah dalam tangan,
yuran pun dalam tangan (Fahmi pegang dalam gambar ini)

Semua orang tak terkata. Dulu semasa pelancaran cawangan Pusat Bandaraya, semua orang ingat itu dah meletup. Tapi kemudiannya ia kalah dengan pelancaran cawangan Putrajaya yang lagi meletup. Kini, Putrajaya pula kalah dengan Shah Alam. Faktor-faktor yang kemungkinan besar telah menyumbang kepada kejayaan ini ialah risalah yang lebih berkesan dan tempoh promosi yang lebih panjang.

Inilah risalah yang diedarkan (sila klik untuk saiz besar):

Ini pula sepanduk yang digunakan:

Demikianlah tertubuhnya Zon Pusat Kelab Pidato Perdana yang merangkumi 5 cawangan. Semoga KPP dapat berkembang ke luar kawasan pusat pula!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Pendaftaran Pertubuhan: Persatuan Penggiat Pidato
13hb. Disember 2012

Setelah lebih 3.5 tahun bernaung di bawah pendaftaran perniagaan, Kelab Pidato Perdana kini dapat bernaung di bawah pertubuhan yang dinamakan Persatuan Penggiat Pidato (PPM-035-10-13122012). Menurut hemat Pengelola KPP Sandy Tan, masanya sudah tiba untuk mengambil langkah ini. Namun demikian, keahlian persatuan ini dihadkan kepada 9 orang sahaja demi mengurangkan kerja pentadbiran dan mengekalkan kawalan (minimum 7 orang diperlukan untuk berpersatuan).

Pada 6hb. November 2013, satu Mesyuarat Penubuhan telah diadakan secara "rahsia" di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya pada lewat malam. Mesyuarat ini dihadiri oleh 7 orang. Jawatankuasa Penaja yang berikut telah dilantik:

Pengerusi: Sandy Tan
Timbalan Pengerusi: Mohd Azman Azmi
Setiausaha: Ruddyansjah Mahtar Hams
Penolong Setiausaha: Anizah Ahmad
Bendahari: Baharudin Zakaria
AJK Biasa: Idris Mohamad & Hj Abdul Mutti Shafain

Permohonan pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia telah dibuat tidak lama kemudian dan permohonan ini telah diluluskan pada 13hb. Disember 2012.

Sijil pendaftaran pertubuhan (sila klik untuk saiz besar):

Setakat ini, Mesyuarat Agung Tahunan masih belum diadakan untuk melantik Jawatankuasa yang rasmi. Mesyuarat ini dijangka akan diadakan pada awal tahun 2013. 2 ahli tambahan dijangka menyertai persatuan ini pada masa tersebut.

Semoga Kelab Pidato Perdana akan terus berkembang di atas landasan baru ini!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Majlis Berbuka Puasa & Pertandingan Pidato Bulan Ramadan 2012
3 & 7hb. Ogos 2012

Mengikut tradisi Kelab Pidato Perdana pada bulan Ramadan, Majlis Berbuka Puasa & Pertandingan Pidato telah diadakan pada Jumaat, 3hb. Ogos 2012 di VIP Lounge, Telekom Malaysia Convention Centre. Majlis ini dihadiri oleh 23 ahli dan seorang tetamu.

VIP Lounge yang lapang dan selesa

Seperti pada tahun-tahun lepas, sebuah tema keagamaan telah ditetapkan sebagai tema pertandingan. Tema untuk tahun ini ialah "Tokoh Agama yang Disanjungi". Tema ini dipilih untuk membolehkan penyertaan ahli-ahli yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

Majlis kali ini dipengerusikan oleh Idris Mohamad yang juga memegang jawatan Pegawai Perhubungan Awam. Setelah ahli-ahli menjamu selera dan mendirikan solat Maghrib, acara pertandingan pun dimulakan. 9 peserta telah mengambil bahagian. Tajuk-tajuk yang dikemukakan termasuk Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bilal bin Rabah, Umar bin Abdul Aziz, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, Abuya, Menteri Besar Kelantan, Tokoh Kerohanian Prof. Dr Hj Shahrin, Ji Gong: Pahala dan Taubat, serta Ujikaji George Mueller yang Berjaya.

9 peserta mengambil bahagian:

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana

Barisan hakim pula terdiri daripada Ketua Jurulatih KPP Azmi Shahrin selaku Ketua Hakim, Ahmad Zan Junus (pemenang 2010), Mus Minahar (pemenang 2011) dan Arrias Roslan Zaidon.

Idris (kiri) dan barisan 4 hakim (kanan)

Semua peserta telah menyampaikan ucapan dengan bersungguh-sungguh dan para hakim pula berusaha membuat penilaian yang tepat berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan. Akhirnya, hadiah pertama dimenangi oleh Ruddy M. Hams (Bilal bin Rabah) manakala hadiah kedua dan ketiga dimenangi oleh Zulkifli Mohamed (Menteri Besar Kelantan) dan Sandy Tan (Ujikaji George Mueller yang Berjaya). Hj Jait Mukhlasin Syuhadak dan Nazri Mohd Sharif mendapat hadiah sagu hati.


Dari kiri: Ahmad Zan, Hj Mukhlasin, Sandy, Ruddy, Azmi, Nazri, Zulkifli, Idris, Mus, Arrias

Memandangkan Kelab Pidato Perdana semakin berkembang, satu lagi Majlis Berbuka Puasa & Pertandingan Pidato telah diadakan pada Selasa, 7hb. Ogos di Putrajaya.

Walaupun kehadiran tidak seramai di KL, jumlah peserta pertandingan tetap 9 orang. Tema yang dipilih ialah "Kesyukuran & Keinsafan". Oleh kerana tidak cukup hakim (semua nak menyertai pertandingan), para pemenang ditentukan menerusi undian ahli-ahli manakala Rohijas Md Sharif bertindak sebagai penilai untuk kesemua ucapan.

Hasil undian, pemenang-pemenang adalah Muhd Fahmi Mardi (tempat pertama, Sudah Hilang 2K), Anizah Ahmad (tempat kedua, Insaf & Syukur) dan Ahmad Majdil Fauzi Abdul Aziz (tempat ketiga, Solat Malam Tanda Syukur dan Insaf). Hj Abdul Mutti Shafain mendapat hadiah sagu hati.


Dari kanan: Fahmi, Anizah, Fauzi, Hj Mutti


Ahli-ahli yang hadir di Putrajaya pada 7hb. Ogos

Demikianlah kemeriahan di Kelab Pidato Perdana pada bulan Ramadan. Semoga tradisi ini dapat diteruskan dan dimanfaatkan bersama.

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelab Pidato Perdana yang Ketiga
11hb. Mei 2012

Memandangkan jumlah keahlian Kelab Pidato Perdana sudah agak ramai, sambutan kali ini tidak diadakan di tempat perjumpaan yang biasa, sebaliknya diadakan di sebuah restoran. Restoran yang dipilih ialah Secret Recipe yang terletak di Tingkat LG, Menara Telekom yang sudi melanjutkan waktu beroperasi pada malam 11hb. Mei untuk tujuan menganjurkan majlis ini (biasanya tutup pada pukul 8 malam).

Pengelola KPP Sandy Tan telah berbesar hati untuk membelanja semua ahli yang sudi menghadirkan diri. Sambutan amat memberangsangkan! Pesanan hidangan utama dibuat sehari sebelum majlis diadakan.

Pada malam yang bertuah itu, ahli-ahli telah datang lebih awal daripada biasa. Meja-meja mula dipenuhi dengan ahli-ahli yang rancak berbual dan berbicara sambil menikmati "starters" yang dihidangkan.

Berbual sambil mengeratkan silaturahim

Tepat 8.30 malam, hidangan utama mula disajikan. Nasib baik Sandy Tan memegang senarai pesanan kerana ada juga ahli yang terlupa makanan apa yang sudah dipesan.

Ada juga ahli yang datang lewat disebabkan kesesakan lalu lintas atau tersesat jalan. Akhirnya semua selamat sampai kecuali 2 ahli dan seorang tetamu yang tidak dapat hadir. Jumlah kehadiran adalah 38 ahli dan 5 tetamu, tidak termasuk kanak-kanak. Idris Mohamad memainkan peranan penting sebagai Pengacara Majlis.

Hadir bersama keluarga tersayang

Tepat 9.10 malam, Kuiz KPP yang sudah lama diwar-warkan itu pun dimulakan. Kuiz ini dikendalikan oleh Sandy Tan. Beliau terpaksa menggunakan suara yang lantang kerana mikrofon tidak disediakan. Mujur latihan di KPP selama ini banyak membantu. Sambutan amat meriah kerana semua ahli menunjukkan semangat ingin bertanding dan menang.

Tiada orang yang tak suka menang hadiah!

Kuiz ini mengandungi 4 pusingan di mana 15 hadiah x RM 5 disediakan untuk pusingan pertama, 7 hadiah x RM 10 untuk pusingan kedua, 3 hadiah x RM 20 untuk pusingan ketiga dan 1 hadiah RM 40 bersama 4 kupon Hotel Renaissance KL disediakan untuk pemenang pusingan akhir. Pemenang pusingan pertama layak ke pusingan kedua dan seterusnya.

Soalan dijawab dengan betul, terus dapat hadiah

Pemenang utama ialah Husni Samli daripada KPP Petaling Jaya yang telah berjaya menjawab soalan cepu emas iaitu soalan tunggal pusingan akhir. Tahniah!


Husni mengaku menang secara "tidak sengaja" :)

Setelah kuiz selesai, 4 ahli masing-masing mewakili KPPKL, KPP Putrajaya, KPPPJ dan KPP Pusat Bandaraya telah mengucapkan sepatah dua kata. Sandy Tan juga berucap sepatah dua. Beliau mengaku berasa risau pada awalnya kerana takut majlis tidak mendapat sambutan. Mujur anggapan itu meleset sama sekali!

Majlis berakhir dengan sesi bergambar. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir. Semoga Kelab Pidato Perdana terus melangkah ke hadapan!

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Ucapan penutup daripada Sandy Tan Bergambar dengan poster sambutan ulang tahun

Inilah video Kuiz KPP (diikuti ucapan ahli-ahli) yang dirakam dengan kamkorder saudara Nazri:

Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurus dan para kakitangan Secret Recipe, Menara TM yang telah melayan kami dengan baik sekali. Jika anda bercadang menganjurkan majlis yang sedemikian rupa, anda boleh mempertimbangkan untuk memilih Secret Recipe (www.secretrecipe.com.my). Hidangan sedap, harga pun berpatutan.

Terima kasih Secret Recipe, memang pilihan yang tepat!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Pelantikan Penolong Pengelola Litar Pidato Pertama (Merangkap Kelab Pidato Perdana)
1hb. April 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa En Muhd Fahmi Mardi telah dilantik sebagai Penolong Pengelola untuk Litar Pidato Pertama berkuat kuasa 1hb. April 2012. Ini merupakan jawatan sepenuh masa. En Fahmi juga telah mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Pidato Perdana cawangan Putrajaya.

Fahmi sudah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pidato pada usia muda. Bergiat sejak 2007, beliau pernah terlibat dalam mencatat rekod Malaysia berpidato 50 jam tanpa henti (anjuran UiTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka) dan rekod dunia berpidato 222 jam tanpa henti (anjuran UiTM). Beliau juga pernah mengambil bahagian dalam acara berbahas 100 jam tanpa henti (anjuran DBP). Selain itu, beliau pernah (dan masih) melatih pasukan bahas di UiTM Melaka.

Fahmi telah hadir ke perjumpaan KPP Putrajaya yang pertama pada 13hb. Disember setelah mendapat risalah di stesyen Petronas Presint 11. Terima kasih diucapkan kepada Pn. Anizah Ahmad kerana meletak risalah KPP di sana.


Kemunculan En Fahmi yang pertama di KPP

Fahmi tidak dapat menyertai pada masa itu kerana waktu perjumpaan kelab kerap bertindih dengan waktu kerja. Namun demikian, Pengelola KPP Sandy Tan telah dapat "melihat" bahawa beliau adalah calon yang amat sesuai untuk jawatan yang bakal diwujudkan. Hasil pujukan dan perancangan selama 3 bulan, akhirnya En Fahmi dapat juga memulakan tugas sebagai Penolong Pengelola yang sangat diperlukan.

Kembali selepas 3 bulan dengan gaya yang lebih hebat!

En Fahmi akan memberi tumpuan khas kepada menjayakan projek Kursus Pidato Intensif dan Suara Ceramah di samping membantu dalam Kelab Pidato Perdana dari semasa ke semasa.

Diharap perjuangan pidato ini terus berkembang dan semakin berhasil dengan adanya pekerja sepenuh masa.

Terkini: Fahmi telah diberi jawatan baru sebagai Pengelola KPP Zon Pusat sejak Disember 2012.

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Penubuhan Kelab Pidato Perdana Putrajaya
20hb. Disember 2011

Setelah menunggu sekian lama, warga Putrajaya dan kawasan-kawasan di sekitarnya begitu senorok kerana Kelab Pidato Perdana sudah tiba di tempat mereka. Perjumpaan pertama telah diadakan di Dewan Serbaguna Presint 8 pada 13hb. Disember sebagai persiapan awal menjelang Majlis Perasmian pada 20hb. Disember. Risalah-risalah juga diedarkan dalam tempoh 2 minggu menjelang 20hb. Disember di sekitar Putrajaya (diselitkan dalam akhbar-akhbar, diletakkan di stesyen minyak, pejabat, masjid/surau dll.)

Inilah risalah yang diedarkan (sila klik untuk saiz besar):

Pada 20hb. Disember, Majlis Perasmian diadakan di Kompleks Kejiranan Presint 16 (tempat perjumpaan yang tetap). 26 ahli dan tetamu hadir iaitu melebihi jumlah kehadiran sewaktu pelancaran KPP Pusat Bandaraya (25 orang hadir)! Pengelola KPP Sandy Tan mempengerusikan majlis.

Bilik mesyuarat penuh - dilihat dari pelbagai sudut

Majlis dimulakan dengan para ahli dan tetamu memperkenalkan diri kepada semua yang hadir. Seterusnya, Ketua Jurulatih Azmi Shahrin memberi penerangan ringkas berkenaan sejarah dan matlamat Kelab Pidato Perdana.

Azmi Shahrin bersemangat menceritakan asal usul KPP dan tujuan ia dianjurkan

Selesainya penerangan Azmi Shahrin, En Mohammad Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Perbadanan Putrajaya dijemput berucap sepatah dua dan seterusnya merasmikan cawangan Kelab Pidato Perdana Putrajaya. Terima kasih diucapkan kepada Mohd Azman Azmi, Pegawai Perhubungan Korporat KPP kerana menghulurkan jemputan kepada En Mohammad.

En Mohammad Salleh mengatakan beliau kagum dengan usaha Kelab Pidato Perdana

Sempena Majlis Perasmian ini, sebuah pertandingan pidato telah dianjurkan bertemakan "Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan / Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Nusantara". Tema ini selari dengan matlamat am Kelab Pidato Perdana iaitu untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.

5 ahli mengambil bahagian:

Mohd Shahril Mohd Idrus
(Membudayakan Bahasa Melayu)
Mogana Rau a/l Muniandy
(Peranan Bahasa Melayu dalam Bidang Sains, Teknologi & Inovasi)
Anizah Ahmad
(Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan)
Mohd Faruk Idris
(Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Nusantara)
Pemenang-pemenang (tempat pertama, ke-2 dan ke-3) adalah Anizah, Mogana Rau dan Mohd Shahril
Mohd Azman Azmi
(Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan Malaysia)

Barisan hakim terdiri daripada Azmi Shahrin (Ketua Hakim), Mohd Nizam Harun dan Sezali Othman. Selepas keputusan diumumkan, para hakim juga memberi maklum balas terhadap persembahan para peserta.

Sebelum majlis ditangguhkan, Sandy Tan memberi penerangan ringkas mengenai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh KPP dan faedah-faedah menyertai kelab ini. Seterusnya, borang permohanan keahlian diedarkan. 4 tetamu mendaftarkan diri dan ada lagi yang bercadang untuk mendaftar pada pertemuan berikut. Pada pertemuan 13hb. Disember, 3 tetamu telah terdahulu mendaftar. Tambahan kepada itu, 8 ahli sedia ada telah dipindahkan ke cawangan Putrajaya ini.

Demikianlah sebuah kisah kejayaan di hujung tahun 2011... semoga usaha ini akan berbuah sepenuhnya di tahun 2012.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Sandy Tan: Penat tapi puas

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Kunjungan TV AlHijrah ke Kelab Pidato Perdana Pusat Bandaraya
7hb. Disember 2011

Hasil usaha Idris Mohamad, Pegawai Perhubungan Awam KPP, TV AlHijrah telah berkunjung ke Kelab Pidato Perdana pada hari Rabu, 7hb. Disember 2011 bagi tujuan membuat rakaman untuk siaran.

Kebetulan pada malam berkenaan, KPP Pusat Bandaraya mengadakan kegiatan latihan penarafan. Pihak TV AlHijrah telah membawa seorang peserta Rancangan Solehah untuk menyertai kegiatan ini.

Katering Enak Rasa dengan murah hati telah menaja makan malam untuk 50 orang!

Hidangan istimewa: kena makan, jangan tak makan

Idris sendiri menerajui majlis sebagai Pengacara Majlis. Ketua Jurulatih Azmi Shahrin turut hadir untuk menjayakan majlis.

Idris Mohamad (kiri) & Azmi Shahrin (kanan)
menunjukkan semangat yang tinggi

Ahli-ahli krew rakaman pula sibuk dengan kerja-kerja rakaman. Rakaman dibuat dari pelbagai sudut.

Rakam dari depan Rakam dari belakang

Oleh kerana beberapa acara tambahan sudah disusun, hanya 6 ahlli dan tetamu mendapat peluang untuk berucap pada malam ini. Mereka adalah Shahabudeen, Dr Habiba, Renny Johnnuin (peserta Solehah, berbaju hitam di bawah), Nazmi, Mohd Yusmi dan Mohd Azman. Renny menyampaikan ucapan bertajuk "Wanita Solehah Pemangkin Keutuhan Ummah". Setiap pemidato diberi tunjuk ajar yang agak panjang lebar oleh Ketua Jurulatih.

Ahli-ahli dan tetamu yang lain pula bersantai sambil menghiburkan diri. Seramai 23 ahli dan lebih kurang 15 tetamu hadir.

Akhir sekali, Pengelola KPP Sandy Tan menyampaikan ucapan penutup. Beliau menggayakan fesyen baru jubah "sporty" yang belum pernah ditemui oleh ahli-ahli lain.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana

Selepas semua selesai, ahli-ahli dan para tetamu pun berebut-rebut untuk bergambar.

3 ahli bersama Renny 2 ahli & 3 tetamu
bersama Idris

Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir untuk memeriahkan majlis. Semoga nama Kelab Pidato Perdana semakin harum setelah rancangan ini disiarkan dalam televisyen.

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Kelab Pidato Perdana Menyambut Ulang Tahun Kedua
13hb. Mei 2011

Walaupun Kelab Pidato Perdana mula bergerak sebagai kelab bebas pada 3hb. April 2009, sambutan ulang tahun diadakan pada setiap bulan Mei (mulai sekarang) kerana bulan April merupakan bulan penarafan.

Maka pada tarikh bersejarah 13hb. Mei 2011, KPP telah menyambut ulang tahun yang kedua. Ahli-ahli lama pasti masih ingat bahawa pada ketika KPP menyambut ulang tahun pertama, wujud hanya sebuah kelab/cawangan sahaja. Penubuhan 3 kelab baru merupakan pencapaian utama KPP dalam tempoh satu tahun yang lepas ini. Sebuah pencapaian yang patut diraikan bersama!

Majlis bermula dengan makan malam yang istimewa.

Ahli-ahli digalakkan datang memakai baju kebangsaan. Hadiah akan diberikan kepada pemenang kategori lelaki dan wanita. Kebanyakan ahli telah hadir dengan busana yang disarankan walaupun mereka dimaklumkan hanya sehari sebelum majlis berlangsung.

Acara kemuncak malam ini ialah pertandingan pidato bertema bebas. 9 ahli telah mengambil bahagian.

Bermula drp kiri atas, ikut arah jam:
Albasya'ari, Arrias, Kok Chun, Amirul, Anuar, Amir, Huzaimi, Zulkifli

Pemenang-pemenang adalah:
Johan - Albasya'ari Abdul Latif - Perpaduan Teras Pembangunan Negara
Naib Johan - Arrias Roslan Zaidon - Sosiologi dalam Rekaan Dalaman
Tempat ketiga - Ang Kok Chun - 42 Tahun Selepas 13/05/1969
Tempat keempat - Zulkifli Abdullah - Tasawwuf

Pemenang-pemenang pertandingan baju kebangsaan:

Johan: Arrias Naib Johan: Ruddy

Kategori wanita pula dimenangi oleh isteri Arrias.

Dalam sebuah ucapan yang singkat, Pengelola KPP Sandy Tan telah mengumumkan usaha-usaha yang akan diberi tumpuan untuk tempoh satu tahun yang seterusnya. Usaha yang pertama ialah mewar-warkan kursus pidato intensif untuk pelajar sekolah dan organisasi luar. Selaras dengan usaha ini, ahli KPPKL Anizah Ahmad telah dilantik sebagai Pengurus Kursus Pidato. Usaha yang kedua ialah memulakan usaha membantu ahli-ahli yang layak untuk menjadi penceramah.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Sandy Tan Anizah Ahmad

Semoga Kelab Pidato Perdana terus berkembang!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Penubuhan Kelab Pidato Perdana Pusat Bandaraya
27hb. April 2011

Akhirnya! Akhirnya Kelab Pidato Perdana tiba jua di tengah-tengah bandaraya. Setelah beroperasi sekian lama di pinggir KL di sebelah PJ, KPP sekarang berjaya memacakkan bendera di tengah-tengah kesibukan bandaraya sekali gus membuka luas pintu untuk warga KL menceburi bidang pidato.

Tempat yang digunakan untuk perjumpaan kelab tidak lain tidak bukan Bangunan Getah Asli yang terletak berhadapan dengan Menara Berkembar Petronas. Tempat yang strategik, ada pula LRT.

Bilik Ridley Resource Centre yang lapang dan selesa

Apa yang dirancang, itulah yang termakbul. KPP semakin hebat dengan adanya ahli-ahli yang bersungguh-sungguh ingin menjayakan kelab ini.

Sandy Tan - Pengelola Kelab Pidato Perdana
Penggerak utama malam pelancaran - Sandy Tan (Pengelola KPP),
Ruddy (salah seorang Jurulatih) dan Idris (Pegawai Perhubungan Awam)

25 ahli dan tetamu hadir pada perjumpaan pertama ini walaupun cuaca buruk. Setiap orang yang hadir telah menyampaikan ucapan pengenalan diri selama 5 minit sebagai kegiatan "memanaskan badan".

Seterusnya, Sandy Tan memberi penerangan ringkas mengenai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh KPP kepada para tetamu yang hadir. Akhir sekali, mereka yang berminat (9 tetamu) telah mendaftarkan diri sebagai ahli. Ditambah dengan 4 ahli yang ingin berpindah ke cawangan ini (daripada kelab-kelab sedia ada), KPPPB bermula dengan 13 ahli tidak termasuk Sandy. Diharap jumlah keahlian dapat ditingkatkan lagi pada beberapa perjumpaan yang terdekat.

Syabas dan tahniah, Kelab Pidato Perdana!

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!


Kempen Pengiklanan Menerusi Risalah
April 2011

Menjelang penubuhan KPP Pusat Bandaraya, Kelab Pidato Perdana telah mencetak serta mengedarkan 50,000 helai risalah bersaiz A5 (2 belah) di sekitar kawasan KLCC dan Ampang. Ini merupakan kempen pengiklanan paling besar yang pernah dijalankan oleh KPP setakat ini.

Inilah risalah yang diedarkan (sila klik untuk saiz besar):

Kaedah-kaedah pengedaran yang digunakan:

1. Dimasukkan ke dalam peti surat di kawasan perumahan: 21,000 helai
2. Diselitkan ke dalam akhbar: Metro (5,200), Berita Harian (8,000), Utusan (1,800) - jumlah 15,000 helai
3. Diedarkan di stesyen-stesyen LRT dll. ("tangan ke tangan"): 13,000 helai - dikendalikan oleh ahli KPP Idris Mohamad
4. Diedarkan menerusi ahli-ahli KPP: 1,000 helai

Ahli-ahli KPP juga membantu mengedarkan risalah ini menerusi emel kepada kawan-kawan serta kenalan.

Sambutan terhadap kempen ini (kadar kejayaan) adalah lebih kurang sama dengan sambutan terhadap kempen-kempen pengiklanan yang dijalankan sebelum ini. Ia berjaya menarik segelintir ahli baru selain menyebarkan nama KPP kepada orang awam. Perjuangan ini akan kami teruskan...

~ Dilaporkan oleh Sandy Tan

Kembali ke atas
Saya berminat untuk sertai kelab ini!

Berita sebelum Januari 2011

Berita terkini