Laman Utama Kelab Pidato Perdana
Sejarah & Matlamat Kelab Pidato Perdana
Cawangan-cawangan Kelab Pidato Perdana di bahagian pusat
Cawangan-cawangan Kelab Pidato Perdana di luar kawasan pusat
Kegiatan Kelab Pidato Perdana
Tokoh-tokoh Kelab Pidato Perdana
Senarai Anugerah Kelab Pidato Perdana
Berita Terkini Kelab Pidato Perdana
Gambar-gambar kegiatan Kelab Pidato Perdana
Video-video kegiatan Kelab Pidato Perdana
Beri Sumbangan kepada Kelab Pidato Perdana
Pautan Berkenaan Pidato
Hubungi Kelab Pidato Perdana

Kelab Pidato Perdana Petaling Jaya


Laporan Perjumpaan-perjumpaan Lepas

28 Februari 2015
Untuk pusingan ini, kegiatan perbahasan ataupun debat telahpun dijalankan di setiap cawangan. Untuk cawangan PJ, 2 usul yang dibahaskan ialah "Pelaksanaan GST Baik untuk Negara" dan "Pendidikan Ibu Bapa Lebih Baik daripada Pendidikan Guru". Fahmi tidak dapat hadir dan digantikan oleh Sandy. Oleh kerana jumlah kehadiran amat kurang, bahas satu lawan satu telahpun diadakan. Usul pertama dibahaskan oleh Yeak dan Shubhi, manakala usul kedua dibahaskan oleh Hj Mukhlas dan Yeak. Joe turut hadir sebagai pemerhati.

14 Februari 2015
Untuk pusingan ini, latihan penarafan dijalankan mengikut jadual kegiatan Kelab Pidato Perdana. Jumlah kehadiran agak memuaskan untuk cawangan PJ di mana 8 orang telahpun hadir. Pn Halimah dan En Shubhi menjalankan tugas sebagai Jurulatih pada petang ini. Seperti biasa, ahli-ahli dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk latihan iaitu calon-calon Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2), calon-calon PMP1 dan calon-calon untuk tahap-tahap yang lebih tinggi lagi.

24 Januari 2015
Untuk pusingan ini, ahli-ahli membuat tugasan daripada Siri 28 Ucapan. Tugasan yang ditetapkan untuk cawangan PJ ialah Memperkenalkan Penceramah. 3 ahli telahpun mencuba tugasan ini iaitu Yeak (memperkenalkan penceramah dalam Seminar GST), Samyu (memperkenalkan penceramah untuk "Berani Berniaga di Internet") dan Halimah (memperkenalkan penceramah untuk "Cabaran Mendidik Anak-anak di Era Globalisasi"). Kesemua ucapan menepati keperluan tugasan. Halimah mengambil peranan Jurulatih manakala Samyu mengambil peranan Penilai Utama.

17 Januari 2015
Perjumpaan kali ini sebenarnya ditunda dari hujung Disember 2014 kerana ramai ahli tidak dapat hadir pada masa itu. Satu pertandingan pidato telah diadakan. Tema am yang ditetapkan ialah "2015". Tema ini amat luas untuk memudahkan ahli-ahli mencari tajuk masing-masing. Para pemenang ditentukan oleh barisan hakim yang diketuai oleh Roslan. Halimah menjuarai pertandingan ini dengan ucapan bertajuk "Jejak Kasih 2015". Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Hj Mukhlas (2015 dalam Perspektif Islam) dan Hj Lamit (Berjaya di Dunia & Akhirat).

10 Januari 2015
Untuk pertemuan pertama tahun 2015, sebuah bengkel yang menarik iaitu Bengkel Grotoli telahpun dianjurkan. Bengkel ini dikendalikan oleh En Fahmi sendiri dan inilah kali pertama bengkel ini diadakan untuk ahli-ahli KPP. Semua yang hadir dapat mempelajari Kaedah Mengendalikan Penonton yang terbahagi kepada 5 bahagian iaitu Grounding, Take Off, On Air, Landing dan Recap. Namun begitu, kehadiran pada petang ini kurang memuaskan.

6 Disember 2014
Latihan penarafan telah dijalankan pada malam ini. Memandangkan Majlis Penarafan masih jauh ke hadapan, suatu kelainan diadakan dalam sesi ini iaitu kesemua ahli termasuk ahli-ahli baru diberi peluang untuk berlatih menyampaikan ucapan spontan. Biasanya, hanya ahli-ahli yang sudah mencapai tahap Pemidato Mahir Pangkat 1 atau lebih tinggi lagi akan berlatih dengan ucapan spontan. 3 tajuk diberikan kepada setiap pemidato yang berkisar pada hal ehwal peribadi, isu semasa dan peribahasa. Fahmi sendiri bertindak sebagai Jurulatih.

15 November 2014
Siri 28 Ucapan sekali lagi menjadi tumpuan. Tugasan untuk Petaling Jaya ialah Ucapan Pelepasan. 6 ahli menyampaikan ucapan. Mus - ucapan kepada lulusan Akademi KPP. Yeak - ucapan kepada siswazah UTeM pada pada hari konvokesyen. Hj. Lamit - ucapan kepada jemaah haji yang bakal berlepas. Ashmil - ucapan kepada peserta kursus keusahawaan yang sudah tamat kursus. Rizman dan Mustafa turut berucap. Seorang ahli baru mendaftarkan diri pada petang ini.

1 November 2014
Pusingan ini digunakan untuk latihan kaedah berpidato di semua cawangan. Untuk KPPPJ, tumpuan diberikan kepada kemahiran membuat tatapan mata yang berkesan. Tema ucapan pula ialah "Kekayaan". Kehadiran amat memuaskan pada petang ini di mana 11 ahli berjaya menghadirkan diri. Sandy Tan sendiri memberi penerangan apa yang perlu dilakukan, seterusnya setiap ahli yang hadir telah menyampaikan sebuah ucapan di antara 5 hingga 8 minit. Suasana amat meriah.

18 Oktober 2014
Majlis Penarafan diadakan pada malam ini. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Ketua Jurulatih KPP Azmi Shahrin, Halimah Abdul Hamid dan Hj Jait Mukhlasin Syuhadak. 4 calon mengambil bahagian dan 3 orang telah berjaya. Calon-calon yang berjaya mendapat anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2) ialah Hj Lamit Hj Mohd Amin dan Samyu Adi. Calon yang berjaya mendapat anugerah Pemidato Cemerlang Pangkat 2 (PCP2) ialah Roslan Hassan. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang berjaya.

27 September 2014
Latihan penarafan yang terakhir menjelang Majlis Penarafan. Sepatutnya latihan ini diadakan pada awal bulan Oktober tetapi ia diadakan lebih awal bagi mengelak cuti Raya Haji. Jumlah kehadiran tidak begitu memberangsangkan namun latihan yang mantap dan berkesan dapat dijalankan. Sandy Tan mengendalikan sesi ini dengan baik. Semua yang hadir telah berlatih pada tahap masing-masing bagi menempuh ujian yang mendatang. Penilaian adalah terbuka kepada semua yang ingin memberi cadangan membina.

20 September 2014
Tugasan daripada Siri 28 Ucapan menjadi tumpuan pada petang ini. Untuk cawangan Petaling Jaya, tugasan Menghadapi Hadirin Yang Menentang menjadi pilihan (ikut urutan). 4 ahli telah menyahut cabaran untuk menyampaikan ucapan iaitu Hj. Mukhlas (isu penjagaan ibu tua), Mus (isu pembinaan pusat komersial), Yeak (isu memberhentikan pekerja) dan Hj. Lamit (isu pelebaran jalan). Yang paling menarik ialah sesi soal jawab. Walaupun penyampai diserang bertalu-talu, namun mereka tetap berjaya untuk memberikan jawapan yang memuaskan.

13 September 2014
Latihan penarafan kali ini sepatutnya diadakan selepas raya tetapi terpaksa ditunda kerana semua ahli sedang sibuk melayan rumah terbuka. Latihan ini bertujuan membantu ahli-ahli mempersiapkan diri untuk menghadapi Majlis Penarafan yang bakal diadakan. Pn Halimah menjalankan tugas sebagai Jurulatih manakala Sandy mengambil peranan sebagai Pengacara Majlis. Seperti biasa, penerangan ringkas disampaikan oleh Jurulatih dan ahli-ahli menjalani latihan mengikut tahap masing-masing. Seorang ahli baru telah mendaftarkan diri.

6 September 2014
Untuk pusingan ini, KPP telah menganjurkan program baru (yang tidak pernah dijalankan) iaitu bengkel lakonan. Seorang tenaga pengajar iaitu Cik Nora telah dijemput khas untuk mengendalikan bengkel ini. Jumlah kehadiran memuaskan kerana ramai ahli bersemangat untuk belajar benda baru dan ada di kalangan mereka yang amat berminat dengan lakonan. Kegiatan yang dijalankan termasuk melakonkan watak yang dipilih, melakonkan monolog dan juga membuat lakonan spontan. Sesi soal jawab berkenaan dunia lakonan juga diadakan.

30 Ogos 2014
Siri 28 Ucapan kembali mencabar ahli-ahli pada pertemuan kali ini. Tugasan yang ditetapkan untuk cawangan Petaling Jaya ialah Laporan. 3 ahli telah menyahut cabaran untuk menyampaikan ucapan iaitu Samyu Adi (Laporan Perang Gaza-Israel), Abdul Muzzaffar (Laporan Mingguan Guru Bertugas) dan Mus Minahar (Laporan Penyelidikan: Adat Perpatih di Tanah Asal Minangkabau). Walaupun kehadiran tidak ramai, mutu ucapan yang disampaikan amat memuaskan.

21 Jun 2014
Latihan ucapan spontan diadakan sekali lagi. Kaedah yang diajar dalam sesi ini ialah kaedah "sambut buah pukul". En Mus memainkan peranan sebagai Jurulatih. Setelah penerangan disampaikan, ahli-ahli membuat latihan menerusi kegiatan berdebat satu lawan satu. A mengemukakan sebuah usul dan menyatakan pegangannya dalam masa 4 minit, dan B yang sebelum ini tidak tahu apakah usul yang akan dibentangkan, perlu mengemukakan hujah lawan juga dalam masa 4 minit. Seterusnya, A dan B bertukar tempat dan B pula mengemukakan usul baru.

14 Jun 2014
Sesi ini sepatutnya digunakan untuk latihan penarafan tetapi memandangkan Majlis Penarafan baru sahaja lepas, ahli-ahli diajar satu kaedah baru iaitu Teknik 4 Penjuru ataupun "teknik mengingat nota mengikut gerakan tangan". 4 penjuru yang dimaksudkan ialah isu (kiri atas), kesan (kiri bawah), penyelesaian (kanan bawah) dan rumusan (kanan atas). Seterusnya, ahli-ahli diberi sedikit masa untuk menyediakan sebuah ucapan 5-8 minit. Semua yang hadir mendapat peluang berucap dan menerima maklum balas.

24 Mei 2014
Tugasan untuk sesi ini diambil daripada Siri 28 Ucapan iaitu Ucapan Penghormatan. 5 ahli telah menyahut cabaran untuk menyampaikan ucapan. Samyu dan Mus telah menyampaikan ucapan yang amat menarik di mana Samyu menggambarkan Mus akan bersara sebagai Jurulatih KPP tidak lama lagi, dan Mus pula membuat ucapan berkenaan Fahmi yang bakal meninggalkan KPP. Selain itu, Yeak, Haekal dan Huzer turut berucap. Ketua Jurulatih KPP En Azmi Shahrin diberi peranan sebagai penilai untuk 2 ucapan yang terakhir.

26 April 2014
Majlis Penarafan diadakan pada malam ini. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Azmi Shahrin (Ketua Jawatankuasa), Hj Jait Mukhlasin Syuhadak dan Mohd Sabri Abdul Aziz. Ahli-ahli yang berikut telah berjaya - Roslan Hassan dan Yeak Su Oo mendapat anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2), manakala Halimah Abdul Hamid dan Mus Minahar mendapat anugerah Pemidato Cemerlang Pangkat 2 (PCP2). 2 calon untuk PMP2 tidak berjaya. Syabas dan tahniah buat semua yang berjaya!

5 April 2014
Latihan penarafan yang terakhir menjelang Majlis Penarafan pada hujung bulan. Jumlah kehadiran meningkat kerana ahli-ahli ingin mengambil kesempatan ini untuk mempersiapkan diri. Seperti biasa, latihan dijalankan mengikut kumpulan masing-masing bermula dengan calon-calon Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2), diikuti calon-calon PMP1 dan akhir sekali calon-calon Pemidato Cemerlang Pangkat 2 (PCP2, perlu menyampaikan ucapan tanpa persediaan). En Shubhi dan Pn Halimah memainkan peranan sebagai Jurulatih.

22 Mac 2014
Siri 28 Ucapan kembali menuntut perhatian ahli-ahli, kali ini dengan tugasan Mengemukakan Bantahan. Di KPP Petaling Jaya, 2 ahli telah menyabut cabaran untuk menyampaikan tugasan ini iaitu Samyu (Pengalaman Saya Kemalangan) dan Hj Lamit (Bantah Rehat Selepas Pencen). Malangnya, kedua-dua ucapan tidak menepati keperluan tugasan menurut pendapat Penilai Utama iaitu Hj Mukhlas. Jumlah kehadiran petang ini agak mengecewakan kerana ramai tidak dapat hadir pada musim cuti sekolah.

8 Mac 2014
Sesi latihan kaedah berpidato ini digunakan untuk latihan ucapan spontan ataupun tanpa persediaan. Pendekatan kali ini dicetuskan oleh saudara Fahmi, Pengelola Zon Pusat. Untuk pusingan pertama, peserta perlu mengulas tajuk ringkas berbentuk satu atau dua perkataan. Untuk pusingan kedua, 3 peserta membahaskan sebuah tajuk yang berbentuk "A lebih baik daripada B". Setiap pemidato diberi masa 2 minit sahaja. Latihan ini banyak melatih kemampuan bertindak balas dengan pantas.

22 Februari 2014
Kegiatan perbahasan diadakan pada petang ini. Usul pertama yang dibahaskan ialah "Kereta Buatan Malaysia Kurang Berkualiti". Ahli-ahli yang mengambil bahagian ialah Yeak, Fakhri dan Roslan di pihak pencadang dan Muzzaffar, Hj Lamit dan Amran di pihak pembangkang. Yeak telah diundi sebagai pembahas terbaik untuk sesi ini. Usul kedua pula ialah "Facebook Lebih Banyak Auta daripada Fakta". Di pihak pencadang adalah Yeak, Hj Mukhlas, Roslan manakala di pihak pembangkang adalah Halimah, Shubhi, Muzzaffa. Amran pembahas terbaik bagi sesi kedua.

8 Februari 2014
Latihan penarafan kali kedua menjelang Majlis Penarafan bulan April. En Mus Minahar memainkan peranan sebagai Jurulatih. Semua ahli yang hadir dapat berucap, sama ada dengan menyampaikan ucapan tersedia (5-8 minit, tajuk bebas) ataupun ucapan tanpa persediaan (3 tajuk diberi kepada setiap peserta). Semua ahli berlatih bersungguh-sungguh kerana ingin lulus penarafan nanti. Jurulatih pun menjalankan tugas dengan amat berkesan. Pengacara ialah En Fahmi. Beberapa ahli baru menyertai pada petang ini.

25 Januari 2014
Siri 28 Ucapan, tugasan Mengemukakan Bantahan. 5 ahli menyampaikan ucapan iaitu Mus (Membantah Perkiraan Songsang TNB), Halimah (Membantah Penjualan Arak di Pasaraya), Hj Mukhlas (Membantah Kenaikan Kos Sara Hidup), Roslan (Membantah Kadar Taksiran Cukai MBSA) dan Zainal (Membantah Monopoli Astro). Peranan penting yang lain disandang oleh Sandy (Pengacara Majlis), Mus (Penilai Utama) dan Halimah (Jurulatih). Seorang ahli baru menyertai pada petang ini.

21 Disember 2013
Program yang dianjurkan kali ini ialah mendeklamasi sajak. Ahli-ahli diminta mencari sajak masing-masing malah digalakkan untuk mengarang sajak sendiri. Untuk mereka yang kurang bersedia, himpunan sajak ada disediakan supaya semua dapat mengambil bahagian. Perkara utama yang diberi tumpuan ialah permainan suara. Banyak bakat terpendam berjaya dicungkil termasuk bakat mengarang sajak. Setiap ahli berpeluang mendeklamasi beberapa kali kerana kebanyakan sajak tidak sepanjang ucapan biasa.

7 Disember 2013
Latihan penarafan diadakan sekali lagi. Kehadiran tidak begitu ramai. En Mus menjalankan tugas sebagai Jurulatih manakala Sandy mengambil peranan Pengacara Majlis. Ahli-ahli berlatih mengikut tahap masing-masing di mana ahli-ahli yang belum pernah mendapat sijil memberi tumpuan kepada kemahiran asas dan ahli-ahli yang sudah lebih jauh berusaha untuk mencapai tahap seterusnya. Jenis ucapan pula terbahagi kepada ucapan tersedia dan ucapan tanpa persediaan.

23 November 2013
Ahli-ahli membuat sebuah tugasan daripada Siri 28 Ucapan iaitu Menerangkan Konsep Mujarad. 4 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Shubhi, Yeak, Hj Mukhlas dan Rizman. Tajuk-tajuk yang dipersembahkan semuanya amat menarik termasuk "Masa Itu Relatif", "Keperluan Manusia", "Keberkatan" dan "Kebebasan Bersuara". Peranan-peranan lain diambil oleh Fahmi (Penilai Utama), Shubhi (Jurulatih) dan Rizman (Pengacara). Jumlah kehadiran kurang memuaskan kerana ramai ahli tidak dapat hadir.

9 November 2013
Latihan kaedah berpidato diadakan di mana ahli-ahli menumpukan perhatian kepada kemahiran yang khusus. Untuk KPP Petaling Jaya, perkara yang dipilih ialah cara menggunakan mimik muka. Tema yang ditetapkan pula ialah "Kenangan Pahit". 5 ahli telah menyampaikan ucapan. Tajuk-tajuk termasuk "Pemergian Nenek Kesayanganku", "Kereta Oh Kereta", "Buli", "Beginikah Khidmat Pelanggan?" dan "Kenangan Pahit Zaman Muda". En Shubhi memainkan peranan sebagai Jurulatih.

26 Oktober 2013
Sepatutnya, Majlis Penarafan diadakan tetapi oleh kerana kami sedang menaik taraf sistem penarafan, maka kegiatan Siri 28 Ucapan telah diadakan. Untuk KPP Petaling Jaya, tugasan yang ditetapkan ialah Cerita Misteri / Mistik. 5 ahli telah mencuba iaitu Hj Mukhlas, Shubhi, Fakhri, Karen dan Mus. Shubhi bertindak sebagai Jurulatih dan juga Penilai Utama. Rizman pula mengambil peranan sebagai Pengacara Majlis. Kami mendapat seorang ahli baru pada petang ini.

5 Oktober 2013
Latihan penarafan diadakan pada petang ini. Jumlah kehadiran tidak begitu memberangsangkan dengan kehadiran 9 ahli. Jurulatih yang bertugas ialah Pn Halimah dan beliau dibantu oleh En Shubhi. Fahmi pula mengambil peranan secara Pengacara. Setelah Jurulatih memberi penerangan ringkas, sesi latihan pun bermula dengan ucapan-ucapan tersedia diikuti dengan ucapan-ucapan spontan. Oleh kerana tidak ramai hadir, semua ahli berpeluang mendapat penilaian dan tunjuk ajar yang lebih panjang lebar daripada Jurulatih.

21 September 2013
Kegiatan Siri 28 Ucapan kembali semula. Tugasan kali ini ialah Ucapan Lawak. 5 ahli telah menyahut cabaran untuk menyampaikan ucapan. Mereka adalah Ismail, Joe, Halimah, Shubhi dan Fahmi. Fahmi juga mengambil peranan sebagai Pengacara Majlis manakala Shubhi bertindak sebagai Penilai Utama. Di antara ucapan-ucapan yang lebih menarik ialah "Lumba Haram" (Ismail) dan "Jangan Marah Kanak-kanak" (Shubhi). Jumlah kehadiran agak mengecewakan pada petang ini kerana ramai ahli tak dapat hadir.

7 September 2013
Kegiatan perbahasan telah diadakan semula pada petang ini. 2 usul dibahaskan. Usul pertama: "Kahwin muda perlu untuk mahasiswa". Pencadang: Halimah, Jimmy, Syafiq. Pembangkang: Mus, Saiful, Hj Mukhlas. Usul kedua: "Harga petrol harus naik". Pencadang: Taufik, Shubhi, Hj Mukhlas. Pembangkang: Halimah, Saiful, Syafiq. Halimah diundi sebagai pembahas terbaik untuk usul pertama manakala Shubhi adalah pembahas terbaik untuk usul kedua.

24 Ogos 2013
Perjumpaan pertama selepas Hari Raya Aidilfitri. Jumlah kehadiran agak kurang. Kami menjalankan latihan kaedah berpidato dengan tumpuan khas diberikan kepada tatapan mata. Tema yang ditetapkan ialah "Rumah Terbuka Raya". En Shubhi memberi penerangan ringkas sebagai Jurulatih sebelum ahli-ahli berlatih. Tajuk-tajuk menarik yang disampaikan termasuk "Salah Perkiraan Rumah Terbuka", "Kebaikan & Keburukan Rumah Terbuka", "Rumah Terbuka Hari Raya: Amalan Siapa?", "Rumah Terbuka dalam Budaya Jawa", "Tips Buat Rumah Terbuka" dan "Adakah Rumah Tuhan Terbuka?".

22 Jun 2013
Seperti yang dirancang, KPP telah mula menjalankan kegiatan mengikut piawaian baru yang ditetapkan. Untuk pertemuan kali ini, latihan penarafan diadakan. 8 ahli berjaya menghadirkan diri. Fahmi mengambil peranan Pengacara Majlis manakala Jurulatih KPPPJ yang baru En Shubhi bertindak sebagai Jurulatih. Jurulatih telah menyampaikan penerangan ringkas berkenaan syarat-syarat penarafan sebelum ahli-ahli menyampaikan ucapan. Sesi ucapan terbahagi kepada sesi ucapan tersedia dan sesi ucapan tanpa persediaan.

8 Jun 2013
Untuk pertemuan kali ini, ahli-ahli membuat sebuah tugasan daripada Siri 28 Ucapan iaitu Menerima Anugerah. 5 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Halimah, Norhafis, Yeak, Shubhi dan Ismail Subhi. Ahli-ahli lain menjalankan tugas sebagai penilai dan Fahmi mengambil peranan Penilai Utama. Ucapan Halimah bertajuk "Anugerah Pemidato Wanita Cemerlang KPP"" telah diundi sebagai ucapan terbaik pada petang ini manakala mutu ucapan-ucapan lain juga amat membanggakan.

11 Mei 2013
Pertandingan pusingan saringan diadakan untuk menentukan 2 ahli yang bakal mewakili KPP Petaling Jaya ke pusingan akhir Pertandingan Pidato Antara Cawangan sempena sambutan ulang tahun KPP yang ke-4. Tajuk adalah bebas. 6 ahli telah mencalonkan diri. Pemenang tempat pertama adalah Halimah diikuti oleh Norhafis. Memandangkan Halimah tidak dapat hadir ke pusingan akhir, Norhafis dan Hj Mukhlas akan mewakili cawangan PJ. Shubhi pula menjadi peserta simpanan. Para pemenang ditentukan menerusi undi para penonton.

13 April 2013
Majlis Penarafan diadakan pada petang ini. 5 calon telah mengambil bahagian. Calon-calon yang lulus adalah Hj Jait Mukhlas Syuhadak dan Mohd Shubhi Abdul yang diberi anugerah Pemidato Mahir Pangkat 1 dan Nazmi Osman yang diberi anugerah Pemidato Cemerlang Pangkat 2. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Azmi Shahrin, Halimah Abdul Hamid dan Nazri Mohd Sharif. 2 calon untuk PMP2 telah menunjukkan peningkatan yang memuaskan namun masih "belum berjaya".

6 April 2013
Latihan penarafan buat kali terakhir menjelang Majlis Penarafan. Semua ahli lebih bersungguh-sungguh daripada biasa. Calon-calon dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu mereka yang bakal dicalonkan untuk anugerah tahap pertama, tahap ke-2 dan tahap ke-3. Sandy Tan memulakan sesi dengan mengingatkan para ahli tentang syarat-syarat penarafan. Seterusnya ahli-ahli tahap pertama dan ke-2 pun berucap sambil dilatih oleh En Mus dan Pn Halimah. Akhir sekali, calon-calon untuk tahap ke-3 iaitu Mus dan Halimah berlatih menyampaikan ucapan spontan.

16 Mac 2013
Sekali dalam 2 bulan, ahli-ahli akan membuat tugasan daripada Siri 28 Ucapan. Tugasan kali ini ialah Menyampaikan Bahan Teknikal kepada Hadirin Bukan Teknikal. 4 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Halimah (Kegiatan Lasak Memupuk Keyakinan), Roslina (Cadangan Menaik Taraf Bilik Kawalan), Yeak (Membentuk Sistem Gaji yang Baik) dan Shubhi (Sistem Umpan untuk Anai-anai). Sekali lagi, Halimah telah diundi sebagai pemidato terbaik untuk petang ini.

2 Mac 2013
Sesi latihan yang amat "penting" di mana ahli-ahli belajar menyampaikan ucapan menggunakan paparan PowerPoint dan projektor. Penerangan ringkas telah diberikan menyentuh gaya penyampaian yang betul (cara menggunakan alat bantu pandang ini sambil mengekalkan tatapan mata dengan pendengar dsb.) dan petua-petua menggubah paparan yang menarik dan berkesan. Seterusnya, semua yang hadir telah menyampaikan sebuah ucapan ringkas sebelum diberi penilaian membina.

23 Februari 2013
Acara perbahasan telah diadakan pada petang ini. Tajuk pertama yang dibahaskan ialah "Masyarakat majmuk membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan". Pencadang: Norhafis, Ismail, Fahmi. Pembangkang: Yeak, Shubhi, Firdaus. Tajuk kedua pula ialah "Setiap wanita harus mempunyai kerjaya". Pencadang: Yeak, Firdaus, Ismail. Pembangkang: Mus, Shubhi, Hj Mukhlas. Pihak pencadang menang dalam kedua-dua tajuk 1 dan 2 berdasarkan undian para penonton. Norhafis pembahas terbaik untuk tajuk pertama manakala Yeak pembahas terbaik untuk tajuk kedua.

16 Februari 2013
Kegiatan untuk petang ini ialah latihan penarafan. En Azmi dan En Mus memainkan peranan sebagai Jurulatih. Ahli-ahli baru akan berusaha mencapai tahap pertama iaitu Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2) manakala mereka yang sudah mencapai PMP2 akan berusaha mencapai PMP1. Seperti biasa, setiap ucapan diberi masa 5-8 minit. Para Jurulatih memberi teguran di mana perlu dan penilaian ringkas setelah ucapan selesai. Akhir sekali, Azmi, Mus dan Halimah diberi latihan berucap spontan yang menjadi syarat mencapai tahap lebih tinggi iaitu Pemidato Cemerlang Pangkat 2.

19 Januari 2013
Kegiatan Siri 28 Ucapan kembali menjadi tumpuan dalam perjumpaan kali ini. Tugasan untuk KPPPJ ialah Mendapatkan Sokongan Dalam Pemilihan, atau lebih dikenali sebagai "ucapan kempen". 5 ahli telah berucap termasuk Halimah (calon Pengerusi PIBG), Hj Mukhlas (calon nazir masjid), Shubhi (calon BN), Rizman (calon PR) dan Fahmi (calon Parti Perpaduan). Masing-masing memiliki gaya dan cara tersendiri untuk memujuk pendengar dan memancing undi. Namun demikian, Halimah telah diundi sebagai pemidato terbaik pada petang ini.

5 Januari 2013
Dalam sesi pertama tahun 2013 ini, ahli-ahli KPPPJ telah diberi tugasan mudah iaitu menjalani latihan kaedah berpidato. Tumpuan diberikan kepada cara menggunakan kepelbagaian suara yang betul, menarik dan berkesan. Mus Minahar sekali lagi memainkan peranan penting sebagai Jurulatih dengan menyampaikan penerangan ringkas dan seterusnya melatih para pemidato. Beliau sendiri turut berucap. Setiap pemidato juga dinilai oleh seorang penilai yang perlu mencadangkan sekurang-kurangnya 5 penambahbaikan kepada ucapan yang disampaikan.

Laporan perjumpaan-perjumpaan sebelum Januari 2013

Kembali ke atas