Kelab Pidato Perdana - kelab belajar membuat ucapan
Kelab Pidato Perdana
Sejarah & Matlamat Kelab Pidato Perdana
Cawangan-cawangan Kelab Pidato Perdana
Cawangan-cawangan Kelab Pidato Perdana
Kegiatan Kelab Pidato Perdana
Tokoh-tokoh Kelab Pidato Perdana
Senarai Anugerah Kelab Pidato Perdana
Berita Hangat Kelab Pidato Perdana
Galeri Gambar Kelab Pidato Perdana
Galeri Video Kelab Pidato Perdana
Pautan Berkenaan Pidato
Hubungi Kelab Pidato Perdana
Kursus Pidato Intensif
Program Penceramah
Kelab Pidato Perdana Putrajaya

Laporan Perjumpaan-perjumpaan Lepas

8 Mei 2012
Ahli-ahli kelab memulakan "musim baru" dengan latihan yang ringan iaitu latihan ucapan tanpa persediaan yang berbentuk menyambung cerita. Permulaan cerita diberikan dan peserta perlu menyambung cerita ini dalam masa 5-8 minit. Tajuk-tajuk yang diberi berkisar tentang kehilangan wang, kemalangan jalan raya, mendapat wang misteri, menerima bunga dan bermimpi makhluk asing. Ahli-ahli diberi sedikit masa untuk membuat persediaan ringkas sebelum berucap. Mohd Shahril diundi sebagai pemidato terbaik pada malam ini.

24 April 2012
Majlis Penarafan yang sudah lama dinanti-nantikan ini akhirnya berjaya disempurnakan. 12 ahli telah mencalonkan diri untuk anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2) manakala 2 ahli mencalonkan diri untuk PMP1. Ahli-ahli yang berjaya mendapat PMP2 adalah Abdul Mutti Shafain, Ahmad Shuhari Kassim, Asrul Shah Razali, Mogana Rau a/l Muniandy, Mohd Faruk Idris, Mohd Zailani Mohd Shafi dan Muhd Zaidi Abdul Wahab. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Ketua Jurulatih KPP Azmi Shahrin, Mohd Nizam Harun dan Mohd Shahril Mohd Idrus. Tahniah kepada semua yang berjaya.

3 April 2012
Latihan penarafan kali terakhir menjelang Majlis Penarafan pada hujung bulan. Semua ahli bersungguh-sungguh ingin memperbaiki kelemahan yang masih ada agar lulus nanti. Ahli-ahli yang belum bersedia menghadapi penarafan pun turut serta dalam latihan ini. Mohd Shahril seperti biasa memainkan peranan sebagai Jurulatih Pidato. Di hujung perjumpaan, Shahril sendiri telah menyampai sebuah ucapan selama 15 minit tanpa persediaan awal di atas permintaan seorang tetamu yang ingin merakam ucapan beliau untuk projek universiti.

20 Mac 2012
Pada pertemuan ini, ahli-ahli memberi tumpuan kepada satu lagi tugasan daripada Siri 28 Ucapan iaitu Ucapan Jualan. Apa yang menarik ialah 3 daripada 4 ucapan yang disampaikan ada kaitan dengan pelaburan (saham - Baharudin, Takaful - Faruk, emas - Asrul). Manakala barangan yang diwar-warkan dalam ucapan ke-4 ialah kopi untuk kesihatan (Shasha). Ahli-ahli lain yang hadir memainkan peranan sebagai penilai. Jurulatih KPP Putrajaya, Shahril Idrus pula bertindak sebagai Penilai Utama.

6 Mac 2012
Pada minggu ini, setiap cawangan mengadakan Latihan Kaedah Berpidato yang asas. KPP Putrajaya memberi tumpuan kepada mengelakkan atau menghindari penongkat kata iaitu bunyi atau sebutan yang tidak menambah maksud dalam sesebuah ucapan. Ahli-ahli berlatih dengan tajuk-tajuk mudah yang dilontarkan tanpa persediaan awal. Setiap ahli berpeluang berucap 2 kali pada malam ini. Mohd Shahril memainkan peranan sebagai Jurulatih Pidato. Mohd Azman turut membantu dengan mengira jumlah penongkat kata yang digunakan oleh setiap pemidato.

21 Februari 2012
Acara perbahasan diadakan pada malam ini. Tajuk pertama yang dibahaskan ialah "Pelaksaan SBPA merupakan langkah bijak oleh kerajaan". Pencadang: Mogana Rau, Shahril, Hj. Shahrozaini. Pembangkang: Asrul, Zaidi, Ahmad Farid. Tajuk kedua pula ialah "Poligami harus digalakkan di Malaysia". Pencadang: Zailani, Faruk, Rosman. Pembangkang: Huzaimi, Mutti, Siti. Berdasarkan undi para penonton, pihak pencadang menang dalam kedua-dua tajuk 1 dan 2.

14 Februari 2012
Walaupun hari ini merupakan Hari Kekasih, namun kehadiran tidak terjejas langsung kerana ahli-ahli begitu sayangkan Kelab Pidato Perdana. Kegiatan yang dijalankan ialah latihan penarafan. Semua ahli (hampir semua adalah ahli baru) menyampaikan ucapan tersedia untuk tahap Pemidato Mahir Pangkat 2 kecuali Jurulatih Pidato KPP Putrajaya yang dikehendaki menyampaikan 3 buah ucapan tanpa persediaan untuk tahap lebih tinggi. Semua yang hadir menunjukkan peningkatan.

17 Januari 2012
Sesi pertama membuat tugasan daripada Siri 28 Ucapan untuk KPP Putrajaya. Seperti biasa, tugasan pertama ialah Cerita Rakyat. 7 ahli telah terdahulu menempah slot untuk berucap iaitu Zaidi (Si Tanggang), Shahril (Pak Kadok), Faruk (Sang Kancil dengan Buaya), Shaiful (Batu Belah, Batu Bertangkup), Salwa (Semut dan Belalang), Zailani (Si Cilik Kancil) dan Asrul (Inspirasi Pelanduk). Salwa telah diundi sebagai pemidato terbaik untuk malam ini. Mohd Azman bertindak sebagai Penilai Utama.

10 Januari 2012
Perjumpaan ini boleh dianggap sesi pembelajaran penuh yang pertama. Ahli-ahli berlatih menggunakan kemahiran berpidato yang paling asas iaitu gerakan tangan. Ahli-ahli baru belajar menggunakan gerakan yang asas manakala ahli-ahli lama memberi tumpuan kepada mempelbagaikan gerakan tangan. Kehadiran amat memuaskan di mana 17 ahli dan tetamu hadir. Semua yang hadir mendapat peluang berucap. Mohd Shahril memainkan peranan sebagai Jurulatih Pidato.

20 Disember 2011
Perjumpaan kedua KPP Putrajaya merangkap Majlis Perasmian untuk cawangan baru ini. 26 ahli dan tetamu hadir. Cawangan dirasmikan oleh En. Mohammad Salleh daripada Perbadanan Putrajaya. Selain acara perasmian, pertandingan pidato diadakan. 5 ahli mengambil bahagian. Pemenang-pemenang (tempat pertama, ke-2 dan ke-3) adalah Anizah Ahmad (Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan - sama dengan tema am pertandingan ini), Mogana Rau (Peranan Bahasa Melayu dalam Bidang Sains, Teknologi & Inovasi) dan Mohd Shahril (Membudayakan Bahasa Melayu). 4 tetamu mendaftarkan diri sebagai ahli.

13 Disember 2011
Perjumpaan Kelab Pidato Perdana yang pertama di Putrajaya! 14 ahli dan tetamu hadir. 8 ahli sedia ada telah dipindahkan ke cawangan Putrajaya. Beberapa ahli lain turut hadir memberi sokongan. Untuk sesi pertama ini, kegiatan yang mudah diadakan sekadar untuk "memanaskan badan". Setiap yang hadir diberi peluang memperkenalkan diri dalam masa 3 minit. Untuk pusingan kedua, 5 ahli dan tetamu mendapat peluang berucap lebih panjang. 3 tetamu mendaftarkan diri di hujung majlis.


Sebelum 13hb. Disember 2011, cawangan hari Selasa bertemu di Bangunan MCOBA, Jalan Syed Putra, KL.

6 Disember 2011
Taklimat Teknikal menjadi tumpuan dalam kegiatan malam ini. 6 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Ahmad Zan (cara penjagaan kereta), Mohd Amin (MRT), Ahmad Farid Bahar (langkah-langkah mencegah kebakaran), Kamariah (gaya jahitan langsir terbaru), Shahril (bangunan hijau) dan Nazmi (penilaian hartanah). Walau bagaimanapun, sesetengah daripada taklimat yang disampaikan merupakan taklimat kepada umum (tidak memenuhi syarat teknikal dengan sepenuhnya).

15 November 2011
Kegiatan untuk malam ini ialah latihan kaedah berpidato. Secara khusus, KPP Lembah Klang menjalankan latihan mimik muka. Jurulatih Pidato KPPLK Shahril Idrus memulakan sesi dengan memberi penerangan ringkas cara menggunakan mimik muka yang sesuai di dalam ucapan. Seterusnya, setiap yang hadir diminta memilih 2 mimik muka dan untuk setiap satu, menyediakan serangkap kata-kata untuk diucapkan sambil menggunakan mimik muka berkenaan. Akhir sekali, ahli-ahli menyampaikan ucapan yang penuh.

25 Oktober 2011
Majlis Penarafan berlangsung pada malam ini. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Ketua Jurulatih KPP Azmi Shahrin, Idris Mohamad dan Rohijas Mohd Sharif. 5 ahli iaitu
Abdul Khalid Abdul Mukti, Ahmad Farid Amin, Arrias Roslan Zaidon, Mohd Huzaimi Mohd Hamid dan Zainuddin Mohd Khalid berjaya mendapat anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2). Mohd Shahril Mohd Idrus berjaya melangkah ke tahap PMP1. Tahniah kepada semua yang berjaya!

4 Oktober 2011
Latihan penarafan buat kali terakhir menjelang Majlis Penarafan pada hujung bulan Oktober. Ahli-ahli yang bakal dicalonkan untuk taraf Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2) adalah Ahmad Farid Bahar, Hartati, Husni, Khalid dan Zaidi (yang hadir pada malam ini). Ahli-ahli yang layak dicalonkan untuk PMP1 termasuk Mohd Amin dan Shahril. Ahli-ahli yang tidak sempat menyediakan ucapan telah "digoreng" dengan siri 3 tajuk yang perlu diulas tanpa persediaan (peribadi, hal ehwal semasa dan peribahasa). Ini merupakan cara penarafan dijalankan pada tahap yang lebih tinggi.

20 September 2011
Tumpuan untuk malam ini ialah penyampaian ucapan Mendapatkan Sokongan Demi Perjuangan. Setelah panduan ucapan dibacakan, 4 pemidato menyampaikan ucapan masing-masing. Kebetulan 3 daripada ucapan ini berkisar pada isu politik di mana seorang telah menyokong parti pemerintah dan seorang lagi menyokong parti pembangkang. Tajuk yang terakhir pula ialah "pemulihan sumber air". Setiap pemidato dinilai oleh seorang penilai dan seterusnya hadirin yang lain dalam sesi penilaian terbuka.

13 September 2011
Pada malam ini, KPPLK mengadakan bengkel pengacaraan majlis. Bengkel ini dikendalikan oleh Shahril Idrus, ahli KPPLK yang juga Jurulatih Pidato untuk KPPLK. Beliau telah memberi penerangan yang amat menarik untuk membantu ahli-ahli memahami jenis-jenis majlis serta peranan pengacara majlis; beliau juga mencadangkan rangka yang boleh digunakan untuk mengacarakan sebuah majlis perasmian. Seterusnya semua yang hadir mendapat peluang untuk berlatih.

26 Julai 2011
Perjumpaan kal
i ini ialah untuk menggantikan sesi semasa bulan Ramadan nanti. Ahli-ahli belajar membuat penyampaian menggunakan paparan PowerPoint. 5 ahli menyampaikan ucapan: Mohd Amin (Cara Merawat Cerun Curam), Khoshim (Pengurusan Projek), Ahmad Zan (Asal Perkataan), Shahril (Guna Kad Kredit Tanpa Faedah) dan Zainuddin (Perubatan Sunnah). Mohd Asri dan Arrias pula bertindak sebagai penilai. Penilaian mereka memberi tumpuan kepada gubahan paparan dan gaya penyampaian.

19 Julai 2011
Latihan penarafan diadakan pada malam ini. Khoshim Malim bertindak sebagai Jurulatih untuk bahagian pertama yang melibatkan ahli-ahli yang belum mendapat taraf. Mereka dilatih berdasarkan 8 kemahiran pada tahap 1. Shahril Idrus pula bertindak sebagai Jurulatih untuk bahagian kedua yang melibatkan ahi-ahli yang sudah mencapai tahap Pemidato Mahir Pangkat 2. Mereka dilatih berdasarkan 8 kemahiran lanjutan. Jumlah kehadiran agak memuaskan.

5 Julai 2011
Kegiatan untuk malam ini ialah menyampaikan Kisah Dalam Sejarah iaitu menyampaikan sebuah peristiwa benar dalam sejarah dengan menggunakan gaya bercerita. 7 ahli telah membuat tugasan ini. Tidak semua berjaya menepati syarat-syarat tugasan kerana ada yang gagal menggunakan gaya bercerita. Mereka yang berjaya termasuk Shahril (Manusia Pertama Mengelilingi Bumi), Khalid (Perbicaraan Nelson Mandela) dan Amin (Cura Si Manjakini, kisah menyentuh sejarah negeri Perak).

21 Jun 2011
Susulan kepada bengkel penilaian ucapan yang diadakan hujung tahun 2010, satu pertandingan penilaian ucapan telah diadakan pada malam ini. Ia dibahagikan kepada 2 pusingan. Dalam pusingan pertama, Kolonel Nik Zaki menyampaikan ucapan bertajuk "Pengenalan kepada Angkatan Tentera Malaysia" dan dinilai oleh 4 ahli. Shahrozaini menang. Dalam pusingan kedua, Sandy Tan menyampaikan tajuk "Tiga Jenis Ahli" dan dinilai oleh 4 ahli yang lain. Mohd Amin menang.

7 Jun 2011
Kehadiran kurang disebabkan cuti sekolah. Kegiatan yang dijalankan ialah latihan penarafan. Ahli-ahli yang hadir telah menyampaikan sebuah ucapan 5-8 minit dan diberi penilaian mengikut tahap masing-masing. Saudara Shahalan yang tidak menyediakan ucapan telah diberi 2 tajuk spontan yang perlu dijawab tanpa persediaan. Peranan Pengacara Majlis dimainkan oleh Zahira. Seorang ahli baru telah mendaftarkan diri.

24 Mei 2011
Pada malam ini, tiba lagi giliran Siri 28 Ucapan mendapat perhatian. Tugasan yang diberi tumpuan kali ini ialah Memberi Dorongan. 6 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Ahmad, Husni, Huzaimi, Selaine, Shahril dan Wadi. Shahril diundi sebagai pemidato terbaik dengan tajuk "Langkah Mudah untuk Berjaya". Ahmad Zan turut memainkan peranan sebagai Penilai Utama dan telah memberi rumusan yang baik di akhir majlis. Kehadiran pada malam ini agak memuaskan; terdapat seorang ahli daripada setiap KPPKL, KPPPB dan KPPPJ datang berkunjung selain 2 tetamu.

3 Mei 2011
Kehadiran pada malam ini amat kurang. Namun begitu, latihan tatapan mata tetap dijalankan seperti yang sudah dirancang. Saudara Khoshim memainkan peranan sebagai Jurulatih Pidato. Kaedah latihan yang baru digunakan kali ini di mana setiap penonton akan menunjukkan ibu jari (tanda suka) setiap kali mendapat tatapan mata daripada pemidato, dan ia dicatatkan. En Zulkifli mendapat hadiah kerana memberi tatapan mata yang paling banyak iaitu sebanyak lebih daripada 80 kali sepanjang ucapan! Ahli-ahli lain juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

12 April 2011
Majlis Penarafan telah diadakan pada malam ini. Jawatankuasa Penarafan terdiri daripada Ketua Jurulatih Azmi Shahrin, Mohd Asri serta Rohijas. 6 ahli telah menampilkan diri sebagai calon dan kesemua mereka berjaya mendapat anugerah yang disasarkan. 4 ahli diberi anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2) manakala 2 ahli diberi PMP1 iaitu Ruddy (Bersatu Teguh, Bercerai Roboh) dan Ahmad Zan (Rumahku Syurgaku). Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya!

5 April 2011
Latihan penarafan kali terakhir menjelang Majlis Penarafan. Kehadiran pada malam ini kurang memuaskan. Namun begitu, ahli-ahli yang hadir menunjukkan semangat yang tinggi dalam menjalankan latihan. Sesi dimulakan dengan latihan ucapan tanpa persediaan untuk saudara Asri yang telah mencapai taraf Pemidato Mahir Pangkat 1 (PMP1). Seterusnya saudara Azman diberi latihan untuk PMP2 diikuti ahli-ahli lain untuk PMP1. 2 tetamu yang hadir juga diberi ruang untuk berucap.

22 Mac 2011
Jenis ucapan yang menjadi tumpuan pada malam ini ialah Tunjuk Cara. 5 ahli telah mengambil bahagian. Ucapan yang paling menarik disampaikan oleh Mohd Azman Azmi berkenaan cara menggunakan peralatan snorkeling merangkumi gogal, alat pernafasan serta kaki itik! Ucapan Ahmad Zan bertajuk "Cara Membuat Bom" juga menarik tinggal bom tidak meletup! Ucapan Zulkifli menyentuh seni mempertahankan diri ala Thai iaitu Tomoy juga mendapat sambutan hangat!

1 Mac 2011
Pada malam ini, KPPLK memberi tumpuan kepada ucapan Mengemukakan Cadangan. 5 ahli telah mengambil bahagian iaitu Amin, Asri, Idris, Selaine dan Zaira. Cadangan-cadangan yang dikemukakan merangkumi bidang kerjaya, kebajikan, perjuangan dsb. Saudara Azmi Shahrin pula bertindak sebagai Penilai Utama yang menyampaikan penilaian secara keseluruhan. Terdahulu, setiap penyampai dinilai oleh 2 ahli lain. Saudara Shahalan memainkan peranan sebagai Pengacara Majlis.

22 Februari 2011
Acara perbahasan diadakan pada malam ini! 2 tajuk panas dibahaskan: "Politik berasas kaum harus dihentikan" dan "Setiap wanita perlu ada kerjaya". Tajuk pertama telah menyaksikan 4 pencadang menentang 4 pembangkang, manakala tajuk kedua menyaksikan 3 lawan 3. Tajuk pertama, pembangkang menang (berdasarkan undi ahli-ahli yang menonton). Tajuk kedua, pencadang menang. W
alaupun cuaca kurang baik, tiada seorang pun yang menarik diri! Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk beradu hujah dalam acara bahas ini.

8 Februari 2011
KPPLK menjalankan latihan penarafan yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Azmi Shahrin. Untuk latihan ini, ahli-ahli telah menyampaikan ucapan bertajuk bebas 5-8 minit sambil menerapkan kemahiran-kemahiran yang wajib. Kebanyakan ahli yang hadir pada malam ini belum pernah ditarafkan, maka mereka dilatih untuk mencapai tahap pertama dalam tangga penarafan. Segelintir ahli yang bakal dicalonkan untuk tahap yang seterusnya diberi pesanan untuk menggandakan usaha.

18 Januari 2011
Mengikut jadual yang ditetapkan, pada malam ini KPPLK telah memberi tumpuan kepada Kisah Peribadi, salah satu daripada 28 jenis ucapan yang diberi perhatian di KPP. Ramai ahli ingin menyampaikan ucapan kerana ucapan jenis ini agak mudah. Namun begitu, ucapan yang berkesan perlu memberi pengajaran kepada para pendengar selain mengisahkan pengalaman yang dilalui. Ahmad Zan, Khoshim dan Zulkifli telah menyampaikan kisah-kisah yang paling menarik dan bermanfaat pada malam ini.

4 Januari 2011
Perjumpaan Kelab Pidato Perdana yang pertama untuk tahun 2011 telah diadakan di KPP Lembah Klang. Latihan kali ini memberi tumpuan kepada kepelbagaian suara khususnya kepelbagaian kederasan ucapan. Azmi Shahrin memainkan peranan sebagai Jurulatih Pidato. 12 ahli telah menyampaikan ucapan dan dilatih secara langsung oleh Azmi. Kebanyakan ucapan melibatkan kisah benar dan ahli-ahli telah disajikan dengan penceritaan pelbagai pengalaman yang menarik.

21 Disember 2010
Untuk perjumpaan terakhir 2010 ini, sesi latihan penarafan telah dijalankan. 4 ahli yang belum mendapat taraf dilatih untuk taraf Pemidato Mahir Pangkat 2 (PMP2). 4 lagi ahli yang sudah mendapat PMP2 dilatih untuk PMP1. Pada malam ini kami juga meraikan ulang tahun kelahiran Idris Mohamad, Pegawai Perhubungan Awam KPP dengan sebiji kek keju! Penyokong-penyokong KPP Ismail Omar dan Nik Zaki turut turun padang memberi sokongan pada perjumpaan terakhir 2010 ini.

14 Disember 2010
Kelab Pidato Perdana Lembah Klang menganjurkan bengkel penilaian ucapan di mana ahli-ahli belajar cara menyampaikan penilaian yang berkesan terhadap ucapan rakan-rakan seperjuangan. Bengkel ini dikendalikan oleh Ketua Jurulatih Azmi Shahrin. Kehadiran pada malam ini seramai 21 orang telah mencatat rekod baru untuk KPPLK sejak penubuhannya. Selain ahli-ahli KPPLK, segelintir ahli daripada KPPLK dan KPPPJ turut hadir untuk memeriahkan suasana!

23 Nov 2010
Sekali lagi KPPLK mengadakan kegiatan menyampaikan "ucapan jenis tertentu". 6 pemidato telah mempersembahkan ucapan Mengilhamkan Khalayak. Bukannya mudah untuk mengilhamkan para pendengar. Menurut Penilai Utama Sandy Tan, kekurangan dalam kebanyakan ucapan pada malam ini ialah pemidato tidak menyentuh masalah ataupun "keadaan" para pendengar sebelum memberi saranan-saranan. Namun begitu, ucapan Shahril Idrus mendapat sambutan baik dan diundi sebagai ucapan terbaik malam ini.

2 Nov 2010
Pada malam ini, ahli-ahli memberi perhatian kepada penyampaian ucapan berbentuk Taklimat. 5 ahli telah menyampaikan ucapan iaitu Ahmad Zan, Selaine, Shahalan dan Azmi Shahrin. Setiap penyampai dinilai oleh 2 penilai. Khoshim Malim bertindak sebagai Penilai Utama iaitu penilai keseluruhan. Pembelajaran malam ini berkisar pada isi kandungan dan susunan taklimat, serta gaya penyampaian yang berkesan. KPPLK juga mendapat 2 ahli baru pada malam ini.

12 Okt 2010
Majlis Penarafan diadakan buat kali pertama di KPPLK. 7 ahli telah dicalonkan untuk anugerah Pemidato Mahir Pangkat 2. Mereka adalah Ahmad Zan Junus, Mohd Amin Hussin, Mohd Shahril Mohd Idrus, Rohayati Hasan, Shahalan Ariff, Shahran Shahwadi Che Shaari dan Zulkifli Abdullah. Jawatankuasa Penarafan pula terdiri daripada Ketua Jurulatih Azmi Shahrin, Mohd Asri Mohd Zain dan Hakim Hamzah. Semua calon berjaya mendapat anugerah PMP2 pada malam ini. Syabas dan tahniah!

5 Okt 2010
Disebabkan Jurulatih yang sepatutnya bertugas tidak dapat hadir, Sandy Tan terpaksa mengambil alih tugas beliau. Namun begitu, semua berjalan lancar. 10 pemidato telah bersedia dengan ucapan masing-masing dan begitu bersemangat untuk mendapat latihan penarafan sebelum menghadapi Majlis Penarafan yang akan datang. Tumpuan diberikan kepada 8 kemahiran tahap 1 dan diyakini kebanyakan pemidato ini akan berjaya mencapai tangga pertama dalam penarafan.

21 Sept 2010
Sudah lebih sebulan ahli-ahli tidak bertemu. Kini, puasa sudah, raya pun sudah, kita kembali bergiat dalam KPP! Malam ini Jurulatih Pidato yang baru dilantik iaitu saudara Ruddy telah memulakan tugas dengan penuh bersemangat. Kegiatan malam ini ialah latihan menggunakan serta mempelbagaikan gerakan tangan. Ahli-ahli diberi tajuk mudah yang boleh dijawab tanpa persediaan awal. Terdahulu, Ruddy menyampaikan sedikit panduan buat para hadirin. 10 ahli and 1 tetamu hadir.

17 Ogos 2010
Pertandingan Pidato bertemakan "Merdeka" sempena perayaan Hari Kemerdekaan yang menjelang. 9 ahli mengambil bahagian! Sandy Tan telah mencuri hati para hakim dengan tajuk menarik "Merdeka daripada Kemerdekaan" sekali gus menggondol hadiah pertama. 3 pemenang seterusnya adalah Hj. Naburi Idin (Sebelum & Selepas Merdeka), Zulkifli Abdullah (Merdeka!) dan Rohayati Hasan (Merdekakah Kita?). Hakim-hakim adalah Abdul Razak, Selaine dan Rozana.

3 Ogos 2010
Kehadiran tidak begitu ramai pada malam ini. Kegiatan yang dijalankan ialah latihan penarafan. 8 pemidato menyampaikan ucapan sambil dilatih oleh Sandy Tan and Ruddy. Seterusnya, pusingan kedua telah diadakan di mana setiap yang hadir menulis sebuah tajuk ucapan di atas secebis kertas untuk dicabut oleh seorang ahli yang lain. Pemidato terbaik untuk pusingan kedua ini ialah Zulkifli Abdullah dengan tajuk "Apakah maksud nama anda?" Majlis tamat hampir 11 malam.

20 Julai 2010
Walaupun hujan turun mencurah-curah, 14 ahli berjaya tiba di tempat perjumpaan. Kegiatan pada malam ini ialah penyampaian Ucapan Jualan. Shahril Idrus, Khalid, Ruddy, Kimmie, Shahabudeen dan Sandy menyampaikan ucapan. Yang paling menarik, Ruddy telah mempromosikan tidak lain dan tidak bukan Kelab Pidato Perdana! Setiap penyampai dinilai oleh seorang penilai. Hj. Naburi bertindak sebagai Penilai Utama dengan memberi penilaian keseluruhan. Semua berpuas hati.

30 Jun 2010
Pada malam ini, kami menjalankan latihan kepelbagaian suara dengan memberi tumpuan khas kepada kelantangan suara. Ketua Jurulatih Azmi Shahrin telah menyenaraikan 5 keadaan di mana seorang pemidato boleh mengambil kesempatan untuk menguatkan atau merendahkan suara. 8 pemidato memberi ucapan bertajuk "Jika saya Perdana Menteri Malaysia / Ketua Pegawai Eksekutif syarikat / Presiden persatuan / dsb., saya akan..." sambil dilatih oleh Jurulatih. Amat berkesan sekali.

16 Jun 2010
Pertandingan pidato bertemakan "Demam Bola"! 6 peserta telah mengambil bahagian. Azmi Shahrin mendapat tempat pertama dengan tajuk "Kalah Dalam Tangan". Zulkifli dan ahli baru Andy masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga. Pertandingan ini diadili oleh 6 hakim iaitu Khoshim, Shahrozaini, Shahril Ayob, Shahalan, Razak dan Nizam Hashim. Majlis bersurai lebih awal pada jam 10 malam agar ahli-ahli dapat pulang untuk mengikuti perlawanan bola Piala Dunia.

2 Jun 2010
Suatu malam yang mencabar. Kegiatan yang sudah dirancang ialah latihan penarafan. 7 pemidato telah disusun tetapi 3 pemidato tidak dapat hadir pada saat-saat terakhir. Tambahan pula, Ketua Jurulatih Azmi Shahrin mengalami keracunan makanan dan terpaksa menarik diri. Namun begitu, Sandy Tan telah berjaya mengawal keadaan dan juga melatih 4 pemidato yang ada. Berita baik untuk malam ini ialah kemasukan 3 ahli baru ke kelab yang masih baru ini!

19 Mei 2010
Acara penyampaian Cerita Rakyat. Walaupun sehari sebelum perjumpaan ini kami masih kekurangan pemidato, namun kami berjaya memujuk beberapa ahli untuk menyampaikan ucapan walaupun kurang bersedia. 5 ahli memberanikan diri untuk menyampaikan sebuah cerita rakyat. Cerita yang dibawa oleh Azmi Shahrin bertajuk "Teh Misai Kucing" telah diundi sebagai ucapan terbaik. Pengalaman malam ini membuktikan bahawa ahli-ahli sebenarnya berkebolehan berucap... sekalipun tanpa persediaan!

5 Mei 2010
Kehadiran pada malam ini amat memuaskan berbanding perjumpaan pertama. Kesemua 17 kerusi di keliling meja besar berjaya dipenuhi! Namun begitu, setiap hadirin masih berkesempatan berucap sehingga 3 kali. Tumpuan untuk malam ini pada asalnya ialah menghindari penongkat ucapan. Mungkin kerana Ketua Jurulatih Azmi Shahrin tampak begitu tegas, tiada seorang pun pemidato yang berani menonjolkan masalah ini. Oleh itu, tumpuan dialih kepada kepelbagaian suara dalam pusingan ucapan yang terakhir.

21 April 2010
Satu permulaan baru untuk Kelab Pidato Perdana dengan penubuhan kelab baru ini. Para hadirin cukup bersemangat walaupun keahlian dan kehadiran masih kurang. Setelah menyampaikan ucapan pertama untuk memperkenalkan diri, ahli-ahli mengambil giliran memberi penerangan untuk 16 kemahiran asas berpidato berdasarkan buku panduan. Semua ahli berasa teruja untuk memulakan atau meneruskan perjuangan menjadi pemidato hebat! Di akhir perjumpaan, semua yang hadir bersetuju untuk menamakan kelab baru ini Kelab Pidato Perdana Lembah Klang.

Kembali ke atas