Kelab Pidato Perdana (KPP) merupakan sebuah Pertubuhan yang diwujudkan untuk tujuan memperkasa Pengucapan Awam bahasa Melayu.

Cogan kata KPP ialah “Lestarikan Bahasa, Senikan Bicara”.

No. Pendaftaran Pertubuhan: PPM-035-10-13122012

Visi KPP ialah bahawa satu hari nanti, sebahagian besar rakyat Malaysia dan warga Nusantara akan memiliki keyakinan dan kemahiran untuk berucap di khalayak ramai dalam bahasa Melayu (Malaysia, Singapura & Brunei) atau Bahasa Indonesia.

Selaras dengan visi ini, misi KPP yang pertama ialah menyediakan wadah latihan berterusan dalam pengucapan awam pada kos rendah di bandar-bandar utama di seluruh pelosok Malaysia dan Nusantara. Setakat ini kami telah menubuhkan 26 cawangan di mana para peserta (ahli) bertemu 2 kali sebulan untuk tujuan menjalani latihan pengucapan awam.

Misi KPP yang kedua ialah mewujudkan golongan Jurulatih (dari kalangan ahli KPP) yang mampu melatih peserta dalam ilmu pengucapan awam. Para Jurulatih ini dapat membimbing peserta di pertemuan lazim di semua cawangan KPP (secara sukarela). Mereka juga dapat mengendalikan program-program untuk awam dan organisasi sekali gus membantu lebih ramai orang untuk memperoleh kemahiran berucap di khalayak ramai.

Sehubungan dengan misi kedua ini, KPP sendiri akan menganjurkan program-program jangka pendek untuk awam dan berusaha menawarkan program-program yang sesuai untuk organisasi. Program-program ini akan dikendalikan oleh para Jurulatih di KPP. Ini dapat membantu mereka untuk memulakan atau melonjakkan kerjaya dalam bidang pengucapan awam.

Misi KPP yang ketiga ialah menjadi pemimpin pemikiran (thought leader) dalam bidang pengucapan awam bahasa Nusantara. Kami berhasrat untuk menghasilkan sumber-sumber rujukan yang segar dan mantap untuk manfaat ahli-ahli KPP dan awam. Ini dapat dicapai melalui perkongsian ilmu dan penggemblengan tenaga di seluruh rangkaian kami yang sudah menjangkau 4 negara.

Logo Kelab Pidato Perdana

Logo KPP

Logo KPP menunjukkan pemidato, 3 gelombang suara dan huruf-huruf KPP. Warna biru, merah, kuning dan putih (latar) merupakan warna-warna dalam bendera Malaysia.